LTdL kekal status ProSeries hingga 2028

LTdL kekal status ProSeries hingga 2028

Peloton pelumba menyeberangi Jambatan Sultan Ismail dalam perlumbaan peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, Melaka ke Medini pada Sabtu lalu. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengesahkan Le Tour de Langkawi (LTdL) kekal berstatus ProSeries untuk tempoh tiga tahun lagi bermula 2026 hingga 2028, sekali gus mengiktiraf Malaysia antara penganjur terbaik dunia.

Naib Presiden UCI merangkap Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill menyifatkan keputusan itu sebagai kejayaan besar buat sukan berbasikal negara.

“Ini satu kejayaan besar untuk Malaysia. Ia bukti nyata bahawa UCI mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan negara kita dalam menganjurkan Le Tour de Langkawi secara cekap, profesional dan tanpa sebarang isu.

“Saya tekankan kepada Presiden UCI bahawa LTdL bukan sekadar perlumbaan biasa, tetapi simbol pembangunan dan kemajuan sukan berbasikal di Asia, dan beliau bersetuju sepenuhnya,” kata Amarjit hari ini.

Beliau berkata keputusan rasmi itu diterbitkan dalam kalendar UCI selepas perbincangan dengan Presiden UCI, David Lappartient, yang turut memberi sokongan penuh terhadap kesinambungan LTdL sebagai perlumbaan berstatus ProSeries.

Kejayaan ini hadir selepas LTdL 2025 yang berakhir pada 5 Oktober lalu mendapat penilaian tertinggi daripada komisar dan pengarah perlumbaan dengan markah teknikal all green tanpa sebarang kelemahan ketara.

Bagaimanapun, persoalan kini tertumpu kepada siapakah yang bakal dilantik sebagai penganjur edisi 2026 selepas Majlis Sukan Negara (MSN) menamatkan mandat tiga tahun penganjuran mereka.

“Ramai wartawan tanya saya lepas tamat LTdL 2025 sama ada UCI akan sambung status kepada Malaysia, tapi saya tunggu keputusan rasmi dulu sebelum ulas. Dan malam tadi bila keputusan diterima, saya sangat gembira kerana keyakinan UCI terhadap Malaysia kekal tinggi,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN