LEKAS Highway Ride catat 6,017 penyertaan sempena edisi ke-10

LEKAS Highway Ride catat 6,017 penyertaan sempena edisi ke-10

LEKAS Highway Ride mencatat pelbagai pencapaian termasuk dua rekod dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2024 bagi kategori Jarak Terpanjang di Lebuhraya Tertutup (105 km) dan Penyertaan Terbesar dalam Acara Berbasikal Malam di Lebuhraya. - IHSAN PENGANJUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Edisi ke-10 RHB LEKAS Highway Ride 2025 mencipta suasana luar biasa apabila 6,017 peserta dari 23 negara membanjiri Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS) bagi menyertai kayuhan malam paling ikonik di Malaysia, malam tadi.

Acara yang menutup sepenuhnya lebuh raya sepanjang 44.3 kilometer (km) itu bertukar menjadi ‘laut manusia berlampu LED’, menyaksikan ribuan pengayuh menakluk laluan dari Kajang ke Paroi dalam suasana penuh meriah.

Pelumba pelbagai peringkat usia bersaing dalam empat kategori utama iaitu 105km Kayuhan Kompetitif, 78km Kayuhan Umum, serta 17km dan 12km Kayuhan Terbuka dan Remaja, menjadikan lebuh raya itu hidup dengan semangat kesukanan.

Seramai 6,017 peserta dari 23 negara membanjiri Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS) bagi menyertai kayuhan malam paling ikonik di Malaysia, malam tadi. – IHSAN PENGANJUR

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata edisi ke-10 ini amat bermakna kerana ianya bukan sekadar perlumbaan basikal, tetapi satu usaha menghubungkan komuniti, menggalakkan gaya hidup sihat dan mencipta pengalaman yang berkekalan.

“Edisi ke-10 RHB LEKAS Highway Ride amat bermakna buat kami di RHB kerana ia juga menandakan tahun kelapan kami sebagai penaja utama.

“Ia bukan sekadar perlumbaan basikal, tetapi tentang menghubungkan komuniti, menggalakkan gaya hidup sihat, serta mencipta pengalaman yang berkekalan,” kata Rashid kepada pemberita sebelum kejohanan bermula di sini, malam tadi.

Beliau berkata, kejayaan acara itu membuktikan sukan berbasikal kini menjadi jambatan sosial yang mampu merapatkan hubungan masyarakat pelbagai lapisan dan latar belakang.

Kayuhan kali ini turut meraikan ulang tahun ke-10 dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti karnival keluarga, persembahan kebudayaan, trak makanan, cabutan bertuah serta persembahan khas ratu rock negara, Ella.

Penganjuran kali ini bukan sekadar simbol kecemerlangan sukan, tetapi turut memperkukuh mesej kesihatan dan keselamatan melalui kerjasama RHB bersama Institut Jantung Negara (IJN) yang menyediakan kemudahan klinik bergerak bagi saringan dan rawatan peserta di sepanjang laluan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN