KOTA BHARU: Kelantan Red Warriors FC (KRW) akan berdepan Johor Darul Taazim II (JDT II) tanpa kelibat ketua pasukannya, Otis Khan pada perlawanan Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam esok.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim yang memaklumkan bahawa pemain kelahiran England itu akan terlibat dalam tugasan antarabangsa bersama pasukan kebangsaan Pakistan dalam masa terdekat ini.
“Otis tidak akan bersama pasukan untuk dua hingga tiga perlawanan kerana terlibat dalam tugasan antarabangsa bersama pasukan kebangsaan Pakistan. Jadi saya guna pemain-pemain muda yang bekerja keras bagi mengambil alih peranannya.
“Adib Aiman dan Rizuan Muda adalah antara nama yang bakal ditampilkan sebagai pemain-pemain utama pada perlawanan kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata, hanya Emmanue Mbarga akan diturunkan sebagai pemain import untuk berdepan JDT II malam esok berikutan Ismael Salim Dunga juga sudah menamatkan sebelum perlawanan menentang Perak FA pada 29 September lalu.
“Secara umumnya, kehadiran pemain import tidak membantu pasukan pada musim ini dan ia adalah kesilapan saya sendiri yang membuat pemilihan pemain pada saat akhir,” katanya.
Irfan Bakti berkata, isu pemain import bukan masalah sebenar pasukan kendaliannya itu kerana dalam kesemua lima perlawanan yang telah dilalui, KRW tidak pernah mempamerkan ‘prestasi yoyo’ atau tidak konsisten.
“Kalau dilihat dalam lima perlawanan yang dilalui, corak permainan kita sama sahaja dan kita mampu cipta banyak peluang. Cuma kita tidak mampu menjaringkan gol dan itulah masalah utama pasukan ini sebenarnya.
“Inilah perkara yang selalu saya tekankan dalam sesi latihan. Kita beri nasihat, kongsi tips dan kita kena didik mereka (pemain) cara-cara untuk menjaringkan gol,” katanya.
Dalam pada itu, Irfan Bakti mahu pemainnya membuang mentaliti yang menganggap JDT II sebuah pasukan kebal kerana pasukan itu pernah dikalahkan oleh Perak FA serta Seoul Pheonix FC sebelum ini.
“Saya minta semua pemain bekerja keras untuk mendapatkan tiga mata penuh pertama. Guna kelebihan bermain di halaman sendiri untuk mendapatkan kemenangan pertama yang masih dicari-cari sehingga kini,” ujarnya.-UTUSAN