KPT mahu perluas hospital pintar ke universiti seluruh negara

KPT mahu perluas hospital pintar ke universiti seluruh negara

ZAMBRY Abdul Kadir (tengah) ketika menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC), di sini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu memperluas pelaksanaan sistem hospital pintar ke semua hospital pengajar universiti di seluruh negara bagi memperkukuh transformasi digital dalam perkhidmatan kesihatan akademik.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu susulan kejayaan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) membangunkan Sistem Maklumat Hospital Lengkap (THIS) dan aplikasi mudah alih Patient Journey dan Virtual Card bagi memperkukuh pemantauan pesakit secara maya.

Katanya, sistem berasaskan data elektronik itu membantu doktor memantau keadaan pesakit secara lebih cekap dan sistematik.

“Usaha yang dilakukan oleh Universiti Malaya amat baik. Mereka telah membangunkan sistem pengurusan hospital menyeluruh berasaskan data elektronik untuk membantu pemantauan pesakit dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Transformasi Digitalisasi Pengalaman Pesakit PPUM dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PPUM dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) di sini, hari ini.

Menurutnya, sistem tersebut turut menggabungkan penggunaan telefon pintar bagi membolehkan pesakit mengakses maklumat rawatan dan status kesihatan mereka dengan mudah.

“Sistem ini turut diintegrasikan dengan aplikasi mudah alih supaya pesakit boleh mengetahui dan menguruskan rawatan mereka sendiri. Ia menjadikan keseluruhan proses rawatan lebih mudah diakses dan tersusun.

“Pesakit juga boleh dipantau terus oleh doktor pakar dari rumah mereka sendiri. Ini membantu mengurangkan kesesakan di hospital dan mempercepatkan proses rawatan susulan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama PPUM dan SASMEC itu membuka jalan ke arah perkongsian data antara hospital universiti sekali gus memperkukuh kesinambungan rawatan pesakit di seluruh negara.

“MoU ini membolehkan sistem yang dibangunkan oleh Universiti Malaya digunakan bersama. Saya berharap satu hari nanti sistem ini dapat diterapkan di semua hospital universiti bagi membolehkan perkongsian maklumat pesakit secara selamat dan efisien,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya menyokong penuh pelaksanaan sistem tersebut dan menggalakkan universiti lain mengambil pendekatan sama bagi mewujudkan jaringan rawatan bersepadu.

“Saya yakin dengan semangat kerjasama antara universiti, sistem ini boleh diperluas dan ditambah baik. Inilah cara kita membina ekosistem hospital pintar yang saling melengkapi,” katanya.

Dalam masa sama, Zambry menegaskan bahawa aspek keselamatan data dan kerahsiaan pesakit menjadi keutamaan utama kementerian.

“Soal privasi pesakit amat penting. Dalam MoU ini sudah ada perjanjian bagi memastikan kerahsiaan data dijaga sebaik-baiknya,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan sistem bukan hanya menunjukkan keupayaan PPUM sebagai universiti penyelidikan (RU), malah membuktikan keupayaan institusi tempatan membangunkan penyelesaian digital kesihatan berimpak tinggi.

“Saya mahu semua universiti mengambil bahagian, bukan hanya universiti penyelidikan. Kita ada 20 universiti awam dan saya yakin sistem ini boleh diperluaskan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN