KPT digesa ubah jadual peperiksaan, elak bertembung PRN Sabah

KPT digesa ubah jadual peperiksaan, elak bertembung PRN Sabah

ISNARAISSAH MUNIRAH MAJILIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyemak semula jadual akademik universiti dan politeknik yang bertembung dengan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.

Menurutnya, pertindihan jadual itu boleh menyebabkan ratusan pelajar Sabah hilang peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, berikutan tarikh berkenaan turut melibatkan peperiksaan akhir politeknik serta minggu konvokesyen beberapa universiti.

“Saya menerima banyak aduan daripada ibu bapa dan pelajar berhubung perkara ini. Saya gesa KPT menyusun semula jadual supaya pelajar Sabah tidak dinafikan hak untuk mengundi.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu lebih peka dan memastikan hak demokrasi belia Sabah tidak dinafikan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.

Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengumumkan penangguhan majlis konvokesyen ke-27 yang dijadualkan pada 29 November kepada 30 November bagi memberi laluan kepada PRN Sabah.

Isnaraissah dalam pada itu turut meminta KPT menyelaras tarikh penting akademik di institusi pengajian tinggi di seluruh negara bagi menghormati proses demokrasi, khususnya ketika musim pilihan raya.

Isnaraissah turut menggesa SPR memperkukuh penyelarasan dengan kementerian berkenaan sebelum menetapkan tarikh pilihan raya bagi mengelak pelajar terperangkap antara peperiksaan dan tanggungjawab sivik mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN