MUNICH: Pengurus Bayern Munich, Vincent Kompany menyifatkan anak buahnya memperagakan persembahan sempurna ketika melakar kemenangan 4-0 ke atas Club Brugge dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menerusi tiga gol dalam 34 minit pertama, semalam.
Kemenangan itu juga mengekalkan rekod sempurna musim ini dan mencatat tiga kemenangan daripada tiga perlawanan di UCL.
Juara Jerman itu kini memenangi kesemua 12 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka untuk melayakkan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dengan sembilan mata maksimum.
Pada aksi itu, gol separuh masa pertama dijaringkan Lennart Karl, pemain berusia 17 tahun yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan dan menjadi penjaring termuda Jerman dalam sejarah kejohanan itu, diikuti oleh Harry Kane dan Luis Diaz serta Nicolas Jackson menambah satu lagi jaringan pada minit ke-79.
“Ia satu persembahan yang baik dan kami sebenarnya boleh menjaringkan lebih banyak gol.
“Perlawanan di laman sendiri yang sangat baik. Kami juga melihat pemain muda menonjol, Lennart Karl menunjukkan dalam perlawanan penting bahawa dia mampu membantu pasukan.”
“Tetapi saya bukan peminat kepada terlalu banyak pujian. Jika dia terus bermain seperti itu, peluangnya pasti akan datang,” kata Kompany.
Bayern akan berkunjung ke laman juara bertahan Paris Saint-Germain pada 4 November, manakala Brugge, yang mengumpul tiga mata daripada tiga perlawanan menerima kunjungan Barcelona sehari kemudian.
Lebih manis, kapten England Harry Kane meneruskan prestasi jaringan luar biasanya apabila telah mengumpul 20 gol dalam 12 perlawanan bersama Bayern musim ini.
Jumlah itu lebih pantas daripada pencapaian Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo untuk mencapai 20 gol pertama dalam musim baharu sepanjang karier kelab mereka.-AGENSI