PETALING JAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Majlis pelancaran buku Legasi Kepemimpinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan baginda, semalam.
Buku diterbitkan hasil kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis itu mendokumentasikan perjalanan kepimpinan dan sumbangan besar Tuanku Syed Sirajuddin sepanjang 25 tahun menaiki takhta pemerintahan Perlis sejak 14 April 2000.
Menerusi penerbitan tersebut, pelbagai catatan penting mengenai peranan baginda dalam memajukan negeri Perlis daripada pelbagai aspek termasuk pentadbiran, sosioekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat dihimpunkan secara menyeluruh. Ia turut menonjolkan keperibadian Tuanku yang berteraskan prinsip keadilan, ketelusan serta kasih kepada rakyat, selain menggambarkan perjalanan institusi Diraja Perlis sebagai lambang kestabilan dan perpaduan negeri.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penerbitan buku tersebut atas mendokumentasikan legasi pemerintahan secara profesional dan berimpak tinggi.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Zaimey Yang Ghazali, Pegawai Kewangan Negeri, Saharuddin Sarwan dan Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr. Syed Hussian Aljunid.
Penerbitan naskhah ini diharap menjadi rujukan penting bukan sahaja kepada rakyat Perlis, malah seluruh rakyat Malaysia dalam memahami peranan institusi diraja dan kepimpinan Tuanku Syed Sirajuddin yang menjadi inspirasi pembangunan negeri selama suku abad.