Kenyataan pembangkang tidak persoal kredibiliti penjawat awam

Kenyataan pembangkang tidak persoal kredibiliti penjawat awam

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat bukan bertujuan mempersoal kredibiliti penjawat awam.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan seharusnya tidak cepat melenting dan menuding jari kepada pembangkang kononnya menghina penjawat awam. 

“Sebagai bekas Timbalan Menteri Luar, saya memahami kesibukan penjawat awam yang bekerja mengikut arahan kerajaan semasa, termasuk dalam zon waktu berbeza. 

“Kita menghargai pengorbanan mereka, tetapi persoalan kami adalah tindakan menteri yang bersetuju dengan artikel yang dibentangkan,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Hamzah berkata, kritikan yang disuarakan hanyalah berkaitan perjanjian ART itu sendiri, bukan pegawai kerajaan yang menjalankan tugas. 

“Kami tidak menyerang kredibiliti penjawat awam. Apa yang kami persoal adalah kandungan perjanjian dan keputusan menteri,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang sebelum ini menyatakan ada pihak menghina penjawat awam, termasuk Ketua Setiausaha kementerian, semasa sesi penerangan khas mengenai ART Malaysia-AS.

Zafrul turut meluahkan kekecewaan terhadap Ahli Parlimen yang disifatkannya memperlekeh usaha pasukan perunding negara. 

“Saya faham serangan berbentuk politik, tetapi jangan meremehkan dedikasi penjawat awam yang memastikan kedaulatan negara terpelihara. 

“Ada yang mendakwa perjanjian ini menjual negara. Saya ingin tanya, adakah itu juga bermakna pegawai kerajaan mahu menjual negara? Cukuplah berpolitik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×