PETALING JAYA: Perenang negara, Khiew Hoe Yean terus menyerlah apabila merangkul pingat gangsa acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki pada Kejohanan Akuatik Asia di Ahmedabad, India, semalam.
Atlet berusia 23 tahun itu mencatat masa 3 minit 52.69 saat (s) untuk menamatkan saingan di tempat ketiga dalam perlumbaan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Veer Savarkar.
Kejayaan itu menyaksikan emas milik wakil China, Xu Hai Bo yang merekodkan 3:49.29s, manakala perak menjadi milik perenang Vietnam, Nguyen Huy Hoang dengan catatan 3:51.63s.
Catatan masa Hoe Yean bagaimanapun masih belum mampu mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 3:47.38s yang dilakukan pada Sukan Universiti Dunia di Jerman, Julai lalu.
Juara dua kali Sukan SEA itu mula membuat lonjakan pada jarak 300m untuk memintas pencabar dari Jepun, Shun Tanaka sebelum mengekalkan kedudukan hingga ke penamat.
Ini merupakan pingat kedua buat Hoe Yean di kejohanan tersebut selepas turut membantu skuad negara meraih gangsa dalam acara berganti-ganti 4x200m gaya bebas, kelmarin.
Dalam pada itu, Ananda Lim menamatkan saingan 100m gaya bebas lelaki di tempat ketujuh dengan catatan 51.51s.
Sementara itu, perenang berpangalaman wanita negara, Phee Jinq En hampir menghadiahkan gangsa kepada negara selepas menamatkan 100m kuak dada wanita di tempat keempat dengan masa 1:10.14s.