PETALING JAYA: Perjalanan karier Lee Zii Jia sekali lagi terganggu apabila pemain perseorangan profesional negara itu disahkan mengalami kecederaan belakang yang memaksa beliau menjalani pemulihan jangka panjang.
Situasi itu memaksa pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris berusia 27 tahun tersebut menarik diri daripada tiga kejohanan utama bulan ini iaitu Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo di Jerman.
Menurut kenyataan rasmi pasukannya malam tadi, pakar perubatan menasihatkan Zii Jia untuk memberi tumpuan penuh terhadap proses pemulihan bagi memastikan kecederaan itu tidak berulang.
“Musim 2025 memang mencabar buat Zii Jia, namun semangatnya untuk bangkit semula serta sokongan berterusan daripada penyokong dan penaja menjadi kekuatan utama,” kata kenyataan itu.
Perkembangan terbaharu ini hadir hanya dua minggu selepas Zii Jia terpaksa menarik diri ketika menentang pemain Taiwan, Lin Chun Yi pada pusingan pertama China Masters.
Kecederaan belakang ini sekali gus menambah kepada episod malang selepas beliau pernah berehat hampir lima bulan akibat kecederaan buku lali kanan sebelum kembali beraksi pada Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Ogos lalu.
Bagaimanapun, kepulangannya tidak menjadi apabila tersingkir pada pusingan pertama kejohanan dunia, selain terkandas awal di Terbuka Hong Kong bulan lalu.
Kegagalan demi kegagalan itu menimbulkan kebimbangan mengenai tahap kecergasan Zii Jia ketika Malaysia amat memerlukan perseorangan lelaki yang konsisten menjelang musim besar tahun depan. UTUSAN