Jumlah mangsa banjir di utara turun, MetMalaysia beri amaran ribut petir di Sabah

Jumlah mangsa banjir di utara turun, MetMalaysia beri amaran ribut petir di Sabah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di tiga negeri terus menunjukkan penurunan kepada 5,829 orang setakat pukul 12.30 tengah hari ini, dengan 47 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi.

Tiga negeri terjejas ialah Perak, Kedah dan Pulau Pinang melibatkan 1,797 keluarga yang ditempatkan di PPS sejak 23 Oktober lalu.

Menurut laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perak kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,496 orang daripada 846 keluarga di empat daerah iaitu Larut, Matang dan Selama (LMS), Manjung, Kerian serta Perak Tengah.

Di Kedah, seramai 2,308 mangsa masih berlindung di 17 PPS yang dibuka di daerah Kulim, Kubang Pasu, Baling, Pendang, Sik, Pokok Sena dan Padang Terap, melibatkan 669 keluarga.

Sementara itu, tujuh PPS masih beroperasi di Pulau Pinang dengan 1,025 mangsa daripada tiga daerah terjejas iaitu Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Barat Daya.

Sekolah Menengah Agama (SMA) Insaniah di daerah Kulim menempatkan jumlah mangsa tertinggi setakat ini dengan 479 mangsa dari 130 keluarga ditempatkan di sana buat masa ini.

Dalam pada itu, laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan masih akan berlaku di ketiga-tiga negeri berkenaan sepanjang minggu ini.

Di Sabah pula, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kawasan perairan Sabah pada jam 9 pagi sehingga 1 petang, hari ini.

Menurut kenyataan, keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) serta laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

“Keadaan ini berbahaya kepada bot-bot kecil.

“Selain itu, angin kencang barat daya berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Phuket,Selat Melaka Utara, Condore, Reef North dan Layang-Layang sehingga Rabu.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×