Jonassen perlu masa, bukan kritikan

Jonassen perlu masa, bukan kritikan- Chong Wei

Kenneth Jonassen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei tampil mempertahankan pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen yang berdepan kritikan susulan prestasi hambar pemain perseorangan lelaki negara.

Pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu menegaskan Jonassen memerlukan masa yang munasabah untuk melaksanakan program pembangunan berkesan, bukan sekadar dinilai selepas 10 bulan memegang jawatan.

“Untuk saya, memang kita kena beri sedikit masa untuk Kenneth Jonassen. Dia baru 10 bulan di sini. Jangan harap dia datang setahun dan terus ubah sukan badminton satu negara.

“Kalau anda tanya jurulatih Rexy (Mainaky), dia jurulatih profesional. Anda tak boleh harapkan dia datang 10 bulan dan terus ubah prestasi satu negara. Kita kena beri dia sekurang-kurangnya satu penggal,” kata Chong Wei.

Beliau berkata, prestasi semasa skuad perseorangan bukan berpunca daripada kelemahan Jonassen, sebaliknya merupakan isu lama yang sudah wujud sebelum jurulatih kelahiran Denmark itu menyertai Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Menurutnya, barisan perseorangan kini bergantung kepada Leong Jun Hao, manakala Justin Hoh serta Ng Tze Yong masih dalam proses pemulihan dan mencari semula rentak permainan.

“Sebelum dia datang, kita sudah sedia maklum kita tiada pemain. Bukannya dia datang baru kita cakap tiada pemain, kan? Memang masa dia datang, Tze Yong ada, tetapi Tze Yong menjalani pembedahan. Jadi, kena beri dia sedikit masa untuk pulih. Adakah dia boleh pulih 100 peratus? Itu kita tidak tahu.

“Ia bergantung pada mental pemain itu juga dan proses pemulihan yang sedang dijalaninya. Jadi, kita kena beri sedikit masa untuk Tze Yong. Jika tidak, kita ada Jun Hao dan Justin,” katanya.

Chong Wei menjelaskan Jonassen mewarisi cabaran besar apabila perlu membentuk semula skuad muda selepas kehilangan Tze Yong yang menjalani pembedahan lutut pada Ogos lalu.

Beliau berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada Jonassen melaksanakan perancangan jangka panjang selaras dengan misi pelan pembangunan Tangkis 2030 yang menjadi hala tuju utama BAM.

“Kita kena beri sedikit masa kepada Jonassen. Kita memang sudah tahu sebelum dia datang lagi yang keadaan perseorangan lelaki akan jadi begini. Kita kena terima hakikat yang perseorangan lelaki sekarang tiada keputusan dan tiada pemain baharu,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN