MADRID: Selepas menunggu 50 Grand Prix (GP) untuk podium pertama Honda di MotoGP, Joan Mir meraikan podium keduanya dalam tempoh empat perlumbaan pada GP Malaysia, minggu lalu.
Mir memulakan perlumbaan utama selepas mengalami satu lagi penarikan diri dalam saingan pecut di mana dia terjatuh ketika berada di tempat keempat.
“Saya mengambil lebih banyak risiko daripada yang lain dan saya tidak mahu melihat satu lagi ‘Mir keluar’! Saya mahu menamatkan perlumbaan tetapi dengan podium,” katanya.
Selepas memintas pelumba Yamaha, Fabio Quartararo, Mir dilihat seakan-akan akan terlepas podium sehinggalah Francesco Bagnaia mengalami tayar pancit pada penghujung perlumbaan.
“Anda hanya mendapat tuah sebegitu apabila anda benar-benar berjuang untuknya. Saya sedang mengawal Morbidelli tetapi apabila saya nampak Bagnaia bergelut, saya terus berikan segala yang saya ada,” katanya.
Selepas mengutip 26 mata dalam musim pertamanya bersama Honda pada 2023, kemudian 21 mata tahun lalu, kepercayaan bersama antara Mir dan Honda akhirnya mula membuahkan hasil.
“Saya tidak pernah ragu bahawa Honda akan kembali. Itulah sebabnya, walaupun dalam keadaan paling sukar, saya memperbaharui kontrak selama dua tahun lagi (2025 dan 2026).
“Saya percaya dengan projek ini dan dengan orang-orang di sini. Bila kita saling mempercayai, inilah hasilnya, ia cuma soal masa dan usaha,” katanya. – AGENSI

 
								 
											









