GEORGE TOWN : Juara bertahan Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berhempas-pulas sebelum menang tipis 2-1 ke atas Penang FC dalam aksi pertama saingan suku akhir Piala FA di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.
Bermula baik, pelawat terlebih dahulu menggegar jaring seawal minit keenam menerusi sentuhan pemain kelahiran Sepanyol, Oscar Aribas yang menerima umpanan daripada penyerang, Jairo Silva.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad Harimau Kumbang kembali menyusun permainan dan berjaya melancarkan beberapa gerakan berbahaya ke Harimau Selatan.
Bagaimanapun, keadaan padang yang agak becak selepas hujan dilihat seakan memperlahankan rentak kedua-dua pasukan.
JDT kemudian hampir menggandakan jaringan pada minit ke-22, namun, rembatan kencang pemain tengah mereka, Ager Aketxe sekadar singgah di tiang gol Penang FC.
Ketika pelawat dilihat mula mengendurkan asakan, Penang FC berjaya mencuri kesempatan itu menerusi satu serangan balas dan tonggak pertahanan mereka, Muhammad Adib Ra’op tidak mensia-siakan peluang melakukan rembatan ke gawang JDT pada minit ke-34 untuk gol penyamaan tuan rumah.
Tujuh minit berselang, JDT hampir di depan semula, namun, jaringan Jairo dibatalkan kerana dia dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Ketika aksi babak pertama hampir melabuhkan tirai, Penang FC dihukum apabila pemain pertahanan mereka, Ahmad Irfan Mohd. Noor dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd. Faizudin Ismail kerana melakukan kekasaran terhadap Romel Morales.
Masuk babak kedua pula, JDT dilihat berjaya memanfaatkan ‘ketempangan’ tuan rumah yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila melancarkan serangan bertali-arus.
Hasilnya, Aketxe berjaya menyempurnakan sepakan percuma luar kotak penalti untuk gol kedua pelawat pada minit ke-55.
Gol tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangat Penang FC untuk bangkit apabila mereka cuba melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu JDT.
Namun, keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail kini berdepan tugasan sukar untuk ‘menjinakkan’ JDT di Stadium Sultan Ibrahim, 28 Oktober ini.-UTUSAN