Jasad Pannir Selvam disemadi di Batu Gajah

Jasad Pannir Selvam disemadi di Batu Gajah

AHLI keluarga P. Pannir Selvam pada majlis penghormatan mendiang yang diadakan di Pusat Kemahiran Kanak-anak Yatim Vision Home di Ipoh, Perak hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jasad P. Pannir Selvam, 38, rakyat Malaysia yang dihukum mati pada Rabu lalu di Singapura atas kesalahan menyeludup dadah disemadi di Tanah Perkuburan Kristian Papan, Batu Gajah dekat sini.

Upacara pengebumian diadakan pada tenghari hari yang dihadiri lebih 100 orang termasuk ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Sebelum dikebumikan, majlis penghormatan mendiang diadakan di Pusat Kemahiran Kanak-anak Yatim Vision Home di sini.

Kakak mendiang, P. Sangkari, 41, berkata, adiknya menunjukkan keinsafan sejak ditahan pihak berkuasa negara jiran itu pada tahun 2014.

Jelasnya, adiknya juga membantu dan memberi dorongan kepada tahanan lain untuk berubah, sepanjang berada di sebalik tirai besi.

“Kepada mereka yang memegang kuasa yang boleh menentukan nasib seseorang, saya merayu agar sisi kemanusian seseorang juga dilihat,” katanya kepada pemberita.

Pannir Selvam dihukum mati di Singapura selepas didapati bersalah menyeludup 51.84 gram diamorfin ke negara itu pada tahun 2014.

Mendiang merupakan rakyat Malaysia kedua dihukum mati bagi kesalahan dadah di republik berkenaan dalam tempoh dua minggu, selepas K. Datchinamurthy, 39, menjalani hukuman pada 25 September lalu.

Menurut rekod mahkamah, Pannir disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 27 Jun 2017 bagi kesalahan mengedar dadah di pintu masuk Woodlands pada 3 September 2014, dan dikenakan hukuman mati mandatori di bawah undang-undang dadah negara tersebut.

Usaha rayuan terakhirnya menemui jalan buntu apabila Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuannya pada 9 Februari 2018, manakala petisyen pengampunan yang dikemukakan kepada Presiden Singapura turut ditolak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN