Izzah gagal kekang juara Olimpik

Izzah gagal kekang juara Olimpik

Izzah kini akan menumpukan perhatian kepada acara keirin wanita yang dijadualkan berlangsung Ahad ini, dengan harapan dapat menebus kekecewaan dalam aksi penutupnya di Kejohanan Dunia kali ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri untuk melangkah jauh dalam acara pecut individu Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 tidak kesampaian apabila tewas di tangan juara Olimpik, Ellesse Andrews dari New Zealand, awal pagi tadi.

Dalam perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Penalolen, Santiago, Chile, atlet berusia 22 tahun itu cuba memberikan tentangan sengit, namun kehebatan dan pengalaman lawannya jelas sukar ditandingi.

Andrews, yang muncul pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024, menggunakan kelebihan taktikal dan kuasa pecutan luar biasa untuk menafikan peluang Izzah mara ke pusingan kedua.

Turun sebagai pelumba bukan pilihan, Izzah tetap menampilkan semangat juang tinggi biarpun berjuang seorang diri di Chile apabila enggan menyerah mudah sepanjang dua saringan yang dipertandingkan.

Terdahulu, anak kelahiran Sungai Petani itu menempah slot ke pusingan pertama selepas menamatkan aksi kelayakan di tempat ke-26 daripada 34 pelumba dengan catatan 11.42 saat (s).

Catatan itu bagaimanapun masih jauh berbanding rekod kebangsaan 10.578s yang dilakukannya ketika Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Turkiye pada Mac lalu.

Meskipun gagal mengatasi juara Olimpik, persembahan konsisten Izzah tetap menjadi petanda positif terhadap usaha kontinjen berbasikal trek negara membina pelapis untuk jangka panjang.

Izzah kini akan menumpukan perhatian kepada acara keirin wanita yang dijadualkan berlangsung Ahad ini, dengan harapan dapat menebus kekecewaan dalam aksi penutupnya di Kejohanan Dunia kali ini.

Pada edisi lalu di Ballerup, Denmark, Izzah menamatkan saingan di tempat ke-21 bagi acara pecut dan ketujuh dalam keirin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN