PUTRAJAYA: Jaguh renang negara, Khiew Hoe Yean dan pemanah sensasi muda, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi muncul wira dan wirawati sukan Wilayah Persekutuan selepas dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan 2023/2024.
Majlis berprestij yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya itu menyaksikan kedua-dua atlet kebangsaan tersebut menerima piala pusingan, sijil penghargaan serta ganjaran wang tunai RM8,000 masing-masing.
Anugerah tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, yang menyifatkan kejayaan mereka sebagai simbol kecemerlangan atlet muda ibu kota yang kini menempah nama di pentas dunia.
Hoe Yean, 21, yang menempah tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024, mengetepikan cabaran sengit daripada atlet memanah, Alang Ariff Muhammad Ghazali, serta penerjun muda berbakat, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim.
Sementara itu, Ariana, 20, yang turut melayakkan diri ke Olimpik dalam acara recurve individu dan berpasukan wanita, menewaskan saingan dari atlet boling padang, Nur Ain Nabilah Tarmizi, serta bintang wushu, Kwan Yong Xin untuk merangkul gelaran Olahragawati Wilayah Persekutuan.
Sukan renang terus menyerlah apabila dua perenang remaja, Muhammad Dhuha Zulfikry dan Chong Xin Lin, diiktiraf sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan, masing-masing membawa pulang piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai RM5,000.
Turut menerima pengiktirafan dalam kategori para ialah jaguh badminton para dunia, Cheah Liek Hou, yang muncul Olahragawan Para Wilayah Persekutuan, manakala Asyiil Raziin Razman dari sukan renang dinobatkan sebagai Olahragawati Para. – UTUSAN









