Himpunan bantah Trump berlangsung aman, terkawal - Polis

Himpunan bantah Trump berlangsung aman, terkawal – Polis

SUASANA peserta yang hadir dalam Himpunan Bantah Trump susulan kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump itu ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di Dataran Merdeka di sini, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Himpunan membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Dataran Merdeka di sini pagi tadi, berlangsung dalam suasana aman dan terkawal.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, himpunan yang bermula sekitar pukul 9.30 pagi itu dihadiri kira-kira 100 peserta.

Katanya, ia berjalan dengan tertib tanpa sebarang insiden tidak diingini hasil kawalan rapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PDRM berpuas hati dengan tahap disiplin peserta dan kerjasama baik daripada pihak penganjur yang memastikan perhimpunan mematuhi segala peraturan dan arahan keselamatan.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana berjaya mengawal peserta serta memastikan perhimpunan berjalan dengan aman, teratur dan mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa PDRM komited memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara, selain berperanan memudah cara setiap perhimpunan yang diadakan secara sah dan aman.

Terdahulu, himpunan tersebut diadakan serentak dengan ketibaan Presiden Trump di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 10.05 pagi, sebelum menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Sidang kemuncak yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini menghimpunkan pemimpin tertinggi dari negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama. 

Ketibaan Trump disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Bunga Raya, KLIA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN