SEPANG: Pelumba Ducati Gresini Racing, Alex Marquez mengakui Grand Prix (GP) Malaysia menjadi medan Ducati menilai sejauh mana keupayaan pesaing utama mereka.
MotoGP kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang mana menjadi lokasi ujian awal musim dan menjelang pusingan ke-20 perlumbaan pada musim ini.
Ducati kini memilki gelaran juara dunia menerusi Marc Marquez, namun pesaing mula mengintai peluang untuk merapatkan kedudukan, termasuk Aprilia.
“Kita akan lihat kedudukan sebenar pada sesi latihan dan kelayakan nanti, dari situ kami akan cuba bekerja untuk jadi lebih pantas dan konsisten.
“Menarik untuk lihat sejauh mana pengeluar lain seperti Aprilia, Honda, Yamaha dan KTM sudah meningkat kerana kami masih menggunakan jentera yang sama seperti pra-musim,” kata Alex.
Alex mengakui Ducati biasanya mempunyai kelebihan dari segi cengkaman dan daya tarikan di Sepang, namun kini Aprilia juga menunjukkan kekuatan sama, menjadikan saingan lebih sengit berbanding tahun lalu.
“Marco (Bezzecchi) dalam prestasi terbaik dan saya jangka Pecco (Bagnaia) juga akan laju di sini. Jadi kami perlu fokus dan buat kerja dengan bijak dari awal,” katanya lagi.
Dengan baki tiga perlumbaan dan 111 mata ditawarkan, Alex kini berpeluang mengesahkan tempat kedua keseluruhan musim jika meninggalkan Sepang dengan kelebihan melebihi 74 mata ke atas Bezzecchi.
“Mentaliti saya tetap sama, buat kerja dengan bijak tetapi dalam masa yang sama berani mengambil risiko bila perlu.
“Jika kami dapat pastikan tempat kedua di sini, kami boleh nikmati baki musim di Portimao dan Valencia dengan lebih tenang,” katanya. – AGENSI










