SEOUL: Anggota kumpulan Big Bang, G-Dragon, 37, melakar sejarah selepas menjadi penerima termuda pingat jasa negara (Okgwan) yang dianugerahkan kerajaan Korea Selatan.
Pemilik nama sebenar Kwon Ji-Yong itu merupakan selebriti ke-11 yang menerima pingat tersebut selepas pelakon, Song Kang-ho pada 2019.
G-Dragon dipilih atas jasa dan sumbangannya kepada pembangunan dan perkembangan budaya K-Pop di peringkat global.
“Pertama kali menghadiri uji bakat nyanyian adalah ketika saya berusia 11 tahun. Itulah titik permulaannya. Sejak saat itu, saya tidak pernah berhenti mengejar impian.
“Hasrat saya untuk menjadi penyanyi terlaksana ketika belasan tahun. Saya menerima penganugerahan ketika usia memasuki 20-an.
“Dan kini saya dianugerahkan pingat jasa negara Okgwan. Tidak sabar rasanya untuk melihat apa yang akan saya kecapi di usia 40-an nanti,” kongsinya di media sosial.
Dalam masa yang sama, G-Dragon memaklumkan ingin berkongsi pengiktirafan itu bersama anggota Big Bang yang lain.
“Saya, sejak kecil, amat mengidolakan dan memandang tinggi penyanyi. Sekarang saya antara mereka yang bergelar bintang.
“Sebagai penyanyi, saya bangga dan sayangkan kerjaya ini. Tahun depan, Big Bang bakal menyambut ulang tahun ke-20. Saya ingin berkongsi anugerah ini dengan anggota lain dalam kumpulan ini,” ujarnya.










