Format baharu, pemain tidak boleh leka - Ramdan

Format baharu, pemain tidak boleh leka – Ramdan

Low Zi Yu-Noraqilah Ramdan yang mudah mengetepikan Audrey Chang-Jasmine Yeung 18-12 dalam perlawanan penentuan tempat ke-5/8 pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia Berpasukan Campuran 2025 di Guwahati Assam, India, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cabaran bermain sembilan mata menuntut fokus yang lebih kepada barisan pemain remaja Malaysia yang tidak boleh alpa dengan strategi lawan yang mungkin boleh menjadi punca kekalahan tidak diundang.

Jurulatih skuad remaja negara, Ramdan Misbun berkata, sebagai contoh pertemuan menentang AS bagi penentuan tempat ke-5/8 pada kejohanan dunia, hari ini, Malaysia hampir sahaja menjadi mangsa kejutan kebangkitan lawan.

“AS bukan pasukan yang mudah, semalam, mereka berjaya memaksa Jepun bermain sehingga ke set penentuan.

“Kita berjaya mendapatkan kemenangan selesa dalam set pertama, tetapi, apa yang terjadi dalam set berikut disebabkan kita terlepas pandang kepada beberapa perkara yang menjadi punca kita tewas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan antara Malaysia menentang AS bagi penentuan tempat ke-5/8 yang berkesudahan skuad muda negara menang 2-1 pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia Berpasukan Campuran 2025 di Guwahati Assam, India.

Menurut Ramdan, percaturan yang salah apabila menyangka pemain yang diturunkan mampu meneruskan rentak kemenangan hampir sahaja memerangkap skuad negara.

“Jadi, bila dah jauh, kita cuba hendak kejar, saya akui kita memang bergelut dan kita kalah set kedua.
“Dalam set ketiga, kita dah ingatkan balik kepada pemain dan minta mereka supaya bekerja lebih keras, mujur mereka faham apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, dalam format sembilan mata ini, segala perancangan yang diatur tidak semestinya terjamin dan para pemain jangan menyangka mereka boleh berehat cepat.

Katanya lagi, esok, skuad negara akan bertemu Taiwan bagi menentukan tempat ke-5/6 pula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN