BALIK PULAU : Seorang fasilitator mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tiga pertuduhan iaitu mencabul seorang kanak-kanak lelaki semasa mengikuti satu program motivasi, dua minggu yang lalu.
Tertuduh, Mohamad Firdaus Abdul Shukor, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Kem White Resort, Kampung Genting di sini, antara pukul 4.09 pagi hingga 4.30 pagi, 12 Oktober lalu.
Atas kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan selain didakwa mengikut Seksyen 14(d) akta yang sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala pula tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah seterusnya memerintahkan supaya kes tersebut dirujuk ke Mahkamah Sesyen untuk proses jaminan termasuk membuat lantikan peguam selain menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula bagi kes tersebut.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, fasilitator lelaki berusia 33 tahun yang juga bapa kepada dua anak itu ditahan selepas disyaki mencabul mangsa di asrama penginapan kem motivasi berkenaan.
Difahamkan, suspek yang juga merupakan fasilitator jemputan dalam program tersebut melakukan perbuatan itu ketika mangsa sedang tidur di asrama penginapan kem motivasi berkenaan.
Mangsa bagaimanapun hanya menceritakan kejadian itu kepada guru besar selepas pulang dari kem terbabit sebelum laporan polis dibuat sehari kemudian oleh guru besar berkenaan di Balai Polis Bagan Serai, Perak.-UTUSAN










