PETALING JAYA: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram mengakui tuduhan yang mengaitkan individu daripada Vietnam sebagai orang yang bertanggungjawab membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekadar andaian.
Dalam sidang media rasmi FAM, baru-baru ini, beliau menyebut aduan itu dilakukan individu dari Vietnam, namun Sivasundaram berkata pihaknya tidak memiliki bukti mengenai siapa individu tersebut.
Apabila diajukan soalan oleh pihak media, beliau mengesahkan ia sekadar andaian dari FAM berdasarkan laporan yang dilaporkan sebelum ini.
Menerusi soalan yang dikemukakan oleh media, difahamkan FIFA dalam laporannya tidak menyebut siapakah individu yang membuat aduan rasmi ketika FAM menyebut ia dilakukan oleh Vietnam.
“Kami percaya seorang individu (dari Vietnam) yang membuat aduan. Ya, ya (adakah bersetuju jika media menulis ia hanya berdasarkan andaian menuduh individu dari Vietnam),” kata Sivasundaram.
Terdahulu, FIFA mengambil tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain berikutan beberapa dokumen dikatakan palsu dan menimbulkan kekeliruan hingga mendorong FIFA meminta penjelasan lanjut daripada FAM berhubung kesahihan status pemain terbabit.
Menurut FIFA butiran penuh berhubung keputusan menghukum FAM dan tujuh pemain yang didakwa memiliki darah warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.
Menurut laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Susulan itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak. – UTUSAN