KOTA TINGGI: Dua individu maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 56, Lebuhraya Senai-Desaru di sini, pagi tadi.
Kemalangan melibatkan Toyota Fortuner dengan sebuah Volkswagen serta Honda CRV itu menyebabkan dua daripada kenderaan berkenaan terbakar.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd. Hazmi Zulkafli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubungan kebakaran kenderaan itu pada pukul 11.25 pagi sebelum lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi kejadian, kami mendapati berlaku kebakaran membabitkan dua daripada tiga kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. Terdapat lima individu terbabit, namun semuanya berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
“PKO kemudian bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dua kenderaan yang terbakar adalah sebuah Toyota Fortuner yang mana seorang lelaki dewasa dilaporkan parah dan sebuah Volkswagen dengan empat individu yang mana dua daripadanya dilaporkan meninggal dunia dan dua lagi parah.
Kelima-lima mereka maut dan parah akibat kemalangan dan bukan disebabkan kebakaran.
“Difahamkan, Toyota Fortuner itu bertembung dengan Volkswagen dan terbakar. Sebuah Honda CRV cuba mengelak daripada berlanggar dengan kedua-dua kenderaan yang terbakar dan empat individu di dalamnya dilaporkan selamat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman ketika dihubungi mengesahkan kemalangan yang berlaku. – UTUSAN