PARIS: Juara Grand Slam 24 kali, Novak Djokovic mengesahkan tidak akan beraksi pada Kejohanan Tenis Paris Masters minggu depan tanpa memberi sebarang alasan rasmi.
Djokovic, 38, yang pernah menjuarai kejohanan tersebut sebanyak tujuh kali, turut meluahkan penghargaan kepada para peminat.
“Paris yang dihormati, malangnya saya tidak akan bertanding di Kejohanan Paris Masters untuk tahun ini.
“Saya mempunyai kenangan yang menakjubkan dan kejayaan yang hebat selama ini, terutamanya dapat menakluki gelaran itu sebanyak tujuh kali.
Semoga berjumpa lagi tahun hadapan. Merci,” tulis bintang Serbia itu dalam akaun X miliknya.
Terdahulu, Djokovic tersingkir di separuh akhir Shanghai Masters selepas tewas kepada pemain Monaco, Valentin Vacherot yang kemudiannya muncul juara.
Dalam kejohanan sama, Djokovic dilaporkan bergelut dengan kecederaan kaki serta kepenatan akibat cuaca panas ketika menewaskan Jaume Munar di pusingan 16.
Walaupun mengharungi musim sukar, Djokovic menegaskan, dia belum mempunyai perancangan untuk bersara daripada tenis, malah menjadikan bintang-bintang sukan dunia seperti LeBron James, Tom Brady dan Cristiano Ronaldo sebagai inspirasi untuk terus beraksi.
Kali terakhir Djokovic meraih gelaran Grand Slam ialah pada 2023, namun tahun ini dia tetap menunjukkan konsistensi apabila mara ke separuh akhir dalam keempat-empat kejohanan utama dan kini menghuni ranking dunia nombor lima. – AGENSI