Dana DFI bantu pembiayaan lebih inklusif kepada PMKS

Dana DFI bantu pembiayaan lebih inklusif kepada PMKS

DFI merupakan antara inisiatif strategik bagi memberi kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan di bawah agensi kerajaan untuk PMKS. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan peranan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) dalam Belanjawan 2025 adalah langkah strategik kerajaan dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), bagi memudahkan akses kepada pembiayaan yang lebih inklusif dan kos yang rendah.

DFI merupakan antara inisiatif strategik bagi memberi kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan di bawah agensi kerajaan untuk PMKS serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi peruntukan RM40 bilion dalam Belanjawan 2025.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, DFI memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi kerajaan, khususnya dalam memperkasa sektor pertanian, pembangunan luar bandar serta meningkatkan keterjaminan makanan negara.

“DFI berfungsi secara strategik untuk membiayai pelbagai segmen masyarakat, termasuk belia tani, usahawan wanita dan petani kecil, dalam memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau berkata, dengan mandat sosial DFI yang diperkukuh dalam Belanjawan 2025, pembiayaan kini menjadi lebih mudah dicapai oleh kumpulan yang sebelum ini dianggap ‘tidak layak bank’, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi desa dan kelangsungan hidup masyarakat setempat.

“Industri kecil seperti penternakan, penanaman sayur dan makanan tradisional adalah tulang belakang ekonomi luar bandar. Mereka tidak memerlukan modal besar, tetapi impaknya tinggi kepada komuniti,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, peranan dan fungsi DFI semakin penting dalam merancakkan pembangunan negara, khususnya dalam menyokong sektor-sektor strategik yang kurang diberi perhatian oleh pasaran kewangan konvensional.

“DFI bukan sekadar entiti kewangan, tetapi menjadi pemacu penting dalam menyokong agenda pembangunan negara yang lebih inklusif dan mampan. Ini termasuk sektor strategik seperti transformasi digital di luar bandar, jaminan rantaian makanan, serta penggalakan penggunaan teknologi hijau,” katanya.

Menerusi DFI, SME Bank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM2.38 bilion dalam separuh pertama tahun ini, peningkatan ketara sebanyak 71 peratus berbanding RM1.39 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu menggambarkan komitmen SME Bank dalam memperkukuh ekosistem PMKS menerusi sokongan pembiayaan, pembangunan kapasiti dan bimbingan keusahawanan yang menyeluruh.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, institusi itu berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran pembiayaan tahunan sebanyak RM3.25 bilion bagi tahun kewangan 2025.

Katanya, seiring dengan mandat belanjawan negara 2025, SME Bank juga sedang melaksanakan inisiatif strategik bernilai lebih RM1 bilion, meliputi pembiayaan serta sokongan bukan pembiayaan bagi memperkukuh ekosistem PMKS nasional.

“Prestasi kukuh ini mencerminkan komitmen kami dalam menyediakan bukan sahaja modal, tetapi juga sokongan pembangunan kapasiti, inovasi dan peluang pertumbuhan inklusif yang menghasilkan impak jangka panjang,” katanya.

Lebih daripada 360 PMKS di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada pembiayaan ini, khususnya dalam sektor strategik seperti pembangunan usahawan bumiputera, digitalisasi, inisiatif berfokus iklim, industri halal dan pelancongan.

Di luar pembiayaan, SME Bank melalui anak syarikat latihan strategiknya, Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR), telah melatih 5,735 usahawan dalam tempoh enam bulan pertama 2025, peningkatan sebanyak 158 peratus berbanding hanya 2,225 peserta pada separuh pertama 2024.

Antara inisiatif utama yang dijalankan termasuk program Maju Usahawan MADANI yang disasarkan menyokong 3,000 usahawan mikro menjelang Mac 2026.
Setakat Jun 2025, seramai 1,632 usahawan telah mendapat manfaat, merangkumi golongan Bumiputera, belia, komuniti luar bandar, golongan B40, Asnaf, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, antara hasil utama yang telah dicapai oleh Agrobank merangkumi peningkatan akses pembiayaan kepada petani kecil, nelayan dan usahawan tani melalui skim mikro dan pembiayaan tanpa cagaran, yang membuka ruang kepada golongan B40 dan komuniti luar bandar.

“Pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19 menerusi skim khas dan moratorium yang membantu pelanggan menyusun semula kewangan dan mengekalkan operasi perniagaan;

“Terdapat peningkatan produktiviti dan pendapatan hasil adaptasi teknologi moden, agro-teknologi dan digitalisasi dalam proses pertanian;

“Selain itu, penyertaan aktif golongan muda dan wanita dalam bidang pertanian pintar menerusi pelbagai produk pembiayaan khas seperti Dana Pembiayaan Agromakanan 2025 dan Program Modenisasi Rantaian Nilai,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama strategik yang luas bersama agensi kerajaan dan sektor swasta yang memperkukuh ekosistem pembiayaan pertanian negara.

“Sumbangan langsung kepada agenda sekuriti makanan negara melalui pembiayaan dalam subsektor kritikal seperti tanaman makanan asas, penternakan dan perikanan,” katanya.

Tambahnya, pembuatan Agrobank kini memberi keutamaan kepada subsektor yang menyokong agenda sekuriti makanan negara seperti tanaman, penternakan, perikanan, komoditi, sektor sokongan dan agro-teknologi.

“Permohonan pembiayaan diteliti secara menyeluruh berdasarkan daya maju projek, potensi pasaran dan kesan kepada ekonomi setempat.

“Bagi usahawan kecil, kami turut menilai elemen sokongan seperti latihan, bimbingan dan jaringan rakan niaga dalam memastikan projek yang dibiayai mampu bertahan dan berkembang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN