PETALING JAYA: Kerajaan akan memperkenalkan cukai karbon mulai tahun hadapan sebagai langkah awal ke arah ekonomi rendah karbon dengan tumpuan utama kepada sektor besi, keluli dan tenaga.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan cukai itu bertujuan memastikan kelestarian alam sekitar dan menggalakkan industri berintensiti tinggi karbon beralih kepada amalan pengeluaran lebih hijau serta lestari.
“Bagi memastikan kecekapan pelaksanaan Cukai Karbon, mekanismenya akan turut diselaras dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan serta Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara yang bakal digubal,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata, langkah itu selaras dengan komitmen Malaysia untuk mencapai sifar bersih gas rumah kaca menjelang 2050 selain memperkukuh daya saing ekonomi hijau negara di peringkat global. – UTUSAN










