Chong Wei terajui Jawatankuasa Prestasi BA

Chong Wei terajui Jawatankuasa Prestasi BAM

Datuk Seri Lee Chong Wei dilantik sebagai Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkuat kuasa hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei diberi kepercayaan menerajui Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan bekas pemain No.1 dunia itu diumumkan oleh Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM yang berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini.

Menurut Zafrul, keputusan itu dibuat selepas badan induk tersebut memuktamadkan pelantikan pengerusi bagi hampir semua jawatankuasa yang telah disusun semula.

“Pada mesyuarat majlis tadi, kami telah bersetuju melantik empat individu untuk menerajui jawatankuasa masing-masing, termasuk Chong Wei yang akan mengetuai Jawatankuasa Prestasi,” kata Zafrul kepada pemberita pada siding akhbar selepas mesyuarat hari ini.

BAM turut memperkemaskan struktur dalaman dengan mengurangkan jumlah jawatankuasa daripada 14 kepada 10 bagi memastikan pengurusan yang lebih cekap dan berfokus.

Jelas Tengku Zafrul, beliau dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh tidak akan menganggotai mana-mana jawatankuasa bagi mengelak sebarang konflik kepentingan.

“Kami tidak boleh berada dalam jawatankuasa kerana ia boleh menimbulkan isu pilih kasih, jadi biarlah pengerusi dan ahli lain menguruskan fungsi masing-masing,” katanya.

Mengulas pelantikannya, Chong Wei menjelaskan, tumpuan utamanya selepas dilantik ialah menjalin kerjasama erat dengan barisan kejurulatihan bagi menilai prestasi serta memahami isu yang dihadapi pemain di lapangan.

Beliau menegaskan pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan Rexy Mainaky dan pengarah kejurulatihan perseorangan, Kenneth Jonassen sudah mengetahui keperluan pasukan, justeru beliau akan bekerja rapat dengan mereka untuk mencari pendekatan terbaik membantu atlet meningkatkan prestasi.

“Yang penting, pertama sekali saya mahu bekerjasama dengan barisan kejurulatihan kerana prestasi memang perlu dilihat bersama jurulatih bagaimana keadaan pemain, apa masalah mereka, sama ada menang atau kalah, dan apa yang berlaku di kejohanan.

“Saya akan bekerjasama dan bekerja keras dengan barisan kejurulatihan untuk melihat bagaimana kita boleh bantu atlet memperbaiki prestasi mereka,” kata Chong Wei ketika ditemui di sini hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN