PETALING JAYA: Seramai empat pemain boling negara bakal menggalas cabaran berganda apabila dijadual terus berlepas ke Sukan SEA 2025 sejurus selesai menyertai Kejohanan Boling Dunia.
Rafiq Ismail, Muhammad Syazirol Shamsudin, Sin Li Jane dan Natasha Mohamed Roslan akan beraksi Kejohanan Boling Dunia di Hong Kong pada 23 November hingga 6 Disember ini.
Mereka kemudiannya akan bergandingan bersama Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Gordon Tsen Fan Yew, Adania Mohd Redzwan dan Nur Hazirah Ramli bagi menyertai temasya dwitahunan itu pada 9 hingga 20 Disember ini.
Jurulatih negara, Beng Heng berkata, sasaran dua pingat emas diletakkan kepada kontinjen negara pada Temasya Thailand 2025 dengan menyasarkan ia hadir daripada acara berpasukan.
“Sasaran emas kami dalam acara berpasukan lelaki dan Wanita malah kami juga berharap dalam acara perseorangan dan beregu juga dalam menghadiahkan pingat buat negara.
“Persaingan pada kali ini, saya lihat ramai wajah baharu membarisi skuad Singapura manakala tidak banyak perubahan terhadap lain-lain negara,” katanya.
Beng Heng turut berkata pemainnya tidak mempunyai masalah dengan venue pertandingan memandangkan mereka sudah berpengalaman beraksi Blu-O Rhythm & Bowl Major Ratchayothin, Bangkok.
“Tuan rumah sebelum ini sudah melakukan kerja-kerja pengubahsuaian sewaktu menganjurkan Kejohanan Boling Asia pada tahun lalu, jadi pemain sudah biasa dengan venue itu,” katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir tenpin boling dianjurkan dalam Sukan SEA 2021 di mana kontinjen negara membawa pulang dua perak dan satu gangsa. – UTUSAN