SEPANG: “Bini aku sudah pulang!”
Demikian jeritan suami kepada pelakon, Ardell Aryana iaitu Nadzmi Adhwa yang gagal menahan air mata sebaik sahaja melihat kelibat isteri muncul di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Selasa.
Nadzmi yang membawa sejambak bunga dilihat memeluk dan mengucup dahi isteri sambil ditemani anaknya walau diasak kerumunan manusia.
Ardell atau Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, bersama 22 delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di KLIA sekitar pukul 11:30 malam semalam.
Terdahulu, Adhwa tiba di lapangan terbang tersebut bersama keluarga antivis lain menaiki empat buah bas.
Penyokong dalam pada itu mula membanjiri KLIA seaw pukul 7 malam sambil melaungkan slogan ‘Free Palestine’ berserta takbir.
Terdahulu, 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi itu ditahan tentera Zionis ketika dalam perjalanan menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.
Mereka dibebaskan selepas beberapa hari ditahan rejim Zionis sebelum diterbangkan ke Istanbul, Turkiye menaiki pesawat khas. – UTUSAN