JOHOR BAHRU: Mesin gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva menyifatkan kejayaan muncul penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman merupakan pengiktirafan tertinggi buat dirinya sepanjang lima tahun bersama Harimau Selatan.
Penyerang berusia 34 tahun itu berkata, misi JDT mempamer penguasaan dalam saingan Liga Super mencetus semangat buat dirinya untuk menjaringkan gol sebanyak mungkin bagi memastikan kemenangan buat pasukan sekali gus menjadikan JDT digeruni lawan.
Pemain kelahiran Brazil itu berkata, pencapaian bergelar penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman merupakan satu penghormatan buat dirinya yang telah menjaringkan 109 gol, setakat ini.
“Bermain untuk pasukan yang meletakkan sasaran tinggi, semua pemain yang berada dalam tahap terbaik dituntut memberi komitmen melebihi 100 peratus dan tampil konsisten dalam setiap perlawanan bagi memburu kejayaan.
“Pengiktirafan ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama sepasukan yang saling membantu antara satu sama lain. Saya masih ingat jaringan pertama bersama pasukan ketika menentang Selangor di halaman sendiri.
“Tanpa sedar sudah lima musim bersama JDT, pengiktirafan ini menguatkan lagi keyakinan dan motivasi buat saya untuk mempertingkat corak permainan mengikut acuan yang dimahukan jurulatih dan bersedia menyesuaikan diri dengan cabaran baru,” katanya.
Pada malam tadi, Bergson menerima plak penghargaan dari Malaysian Football League (MFL) sebagai pengiktirafan selaku Penjaring Terbanyak Liga Super Sepanjang Zaman.
Plak itu diserahkan oleh Presiden MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan bersama-sama bekas penjaring terbanyak, Indra Putra Mahayuddin sebelum sepak mula aksi Piala FA antara JDT dan UM Damansara United di Stadium Sultan Ibrahim.
Bergson berjaya memecahkan rekod 106 jaringan milik Indra Putra selepas menjaringkan gol ketika aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 September lalu.
Pemain import itu kini sudah menjaringkan 109 gol selepas menjaringkan hatrik dalam perlawanan liga tersebut.
Sementara itu, Indra Putra menyifatkan Bergson sebagai pemain luar biasa apabila berjaya memecah rekod yang dipegangnya dan prestasi konsisten pemain import itu perlu dicontohi.
“Saya mahu lihat pemain tempatan pula muncul penjaring terbanyak, ketika ini agak sukar mengesan penyerang tempatan yang tajam untuk menjadi penyerang di skuad kebangsaan, tiba masanya pemain tempatan tampil beri saingan,” ujarnya.-UTUSAN