JOHOR BAHRU: Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) akan disegerakan demi memastikan sektor kesihatan awam negeri ini terjamin, susulan pengumuman dalam Belanjawan 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kerja-kerja awalan bagi projek tersebut telah disiapkan pada Ogos lalu.
“Kerajaan negeri Johor berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberitahu dua projek kesihatan awam di negeri ini akan dipercepatkan pembinaannya, iaitu HSA 2 dan blok baharu Hospital Pontian.
“Melibatkan HSA 2, kerja-kerja awalan seperti pemeriksaan tanah, bengkel-bengkel berkaitan, reka bentuk hospital serta kos pembinaan telah diselesaikan pihak terlibat Ogos lalu.
“Sehubungan itu, kami berharap dengan pembentangan Belanjawan 2026 semalam, projek ini akan dipercepatkan pembinaannya kerana ia dijangka memakan masa lebih daripada tiga tahun,” katanya dalam sidang akhbar sempena program Sambutan Bulan Malaysia Sihat dan Sejahtera yang diadakan di pusat beli-belah Toppen, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr. Mokhtar Pungut.
Sementara itu, Tian Soon memberitahu, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan pusat bagi memastikan pembinaan HSA 2 serta blok baharu Hospital Pontian disegerakan.
“Pembinaan HSA 2 akan dibuat di sebidang tanah berkeluasan lebih 28 hektar di kawasan Mutiara Rini, Skudai dekat sini. Asalnya tanah tersebut adalah milik Kementerian Pertahanan berkeluasan lebih 200 hektar,” katanya. – UTUSAN










