KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terpaksa akur sekali lagi tersekat di suku akhir Terbuka Perancis, namun tetap berpuas hati dengan corak permainan yang semakin meningkat.
Menurut Shevon, mereka beraksi dengan baik secara keseluruhan, tetapi beberapa kesilapan kecil ketika mendahului memberi ruang kepada lawan untuk bangkit mengutip mata penting sebelum pasangan negara itu tunduk 18-21, 16-21 kepada gandingan No. 2 dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam tempoh 43 minit.
“Kami sebenarnya menggunakan taktik dengan baik hari ini (kelmarin), cuma sewaktu mendahului pada set pertama, kami melakukan beberapa kesilapan mudah ketika berpeluang menyerang. Itu yang membezakan keputusan perlawanan.
“Namun secara keseluruhan, kami bermain dengan baik dan mula menemui semula keyakinan untuk mencabar pasangan yang berada di ranking lebih tinggi. Jadi saya tidak rasa hari ini satu perlawanan yang buruk,” kata Shevon.
Sementara itu, Soon Huat mengakui episod kegagalan menembusi separuh akhir musim ini benar-benar menguji kekuatan mental mereka selepas kali ke-11 terkandas di peringkat sama.
“Ia sangat mencabar dari segi mental. Tahun ini saja kami sudah lebih 10 kali ke suku akhir tetapi belum mampu mara ke separuh akhir. Ia memberi tekanan besar, namun saya percaya saat itu akan tiba juga nanti,” kata Soon Huat.
Untuk rekod, pencapaian terbaik pasangan kesembilan dunia itu musim ini adalah dua kali ke separuh akhir iaitu masing-masing di Terbuka Malaysia dan India sebelum melalui rentetan keputusan kurang menjadi selepas itu.
Selepas berehat seketika bagi memulihkan tahap kecergasan, mereka dijadualkan kembali beraksi di Kumamoto Masters di Jepun pada 11 hingga 16 November ini. – UTUSAN










