PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King membuka langkah kanan di Terbuka Arctic 2025 apabila menundukkan pasangan Sweden, Mio Molin-Max Svensson dalam aksi pusingan pertama, awal pagi tadi.
Pasangan ranking ke-20 dunia itu tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-15 hanya dalam masa 34 minit di Energia Areena, Vantaa, Finland.
Kemenangan itu sekali gus menyuntik keyakinan beregu muda negara menjelang cabaran getir menentang gandingan handalan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada pusingan kedua, tengah malam ini.
Arif-Roy King sebelum ini pernah mencipta kejutan besar apabila menumbangkan beregu No. 3 dunia itu pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong, September lalu.
Dalam pertemuan tersebut, mereka menunjukkan semangat juang luar biasa untuk menang 21-19, 23-21, sekali gus membuktikan keberanian mereka menentang pasangan elit dunia. – UTUSAN