KOTA BHARU: Terdapat dua kelemahan utama berjaya dikesan pada bahagian serangan dan pertahanan Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) semasa tewas 1-2 kepada Sabah FC pada perlawanan suku akhir pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Pengendali baharunya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, beliau akan memberi tumpuan untuk membaiki dua kelemahan itu dalam masa seminggu, sebelum anak buahnya berdepan Melaka FC dalam aksi Liga Super pada 24 Oktober nanti.
Menurutnya, salah satu kelemahan yang perlu dibaiki segera adalah dari segi pertahanan yang mana barisan pemain perlu meningkatkan tumpuan dan bertindak balas pada sentuhan kedua.
“Sekarang ini pemain-pemain boleh mencabar bola dengan baik, cuma sedikit leka pada sentuhan kedua dan itulah perkara yang perlu kita baiki segera. Keduanya adalah untuk melatih ketajaman di hadapan gol bagi menghasilkan jaringan.
“Bila menentang pasukan berpengalaman seperti Sabah, bahaya jika berlaku kesilapan semasa bertahan. Itulah yang berlaku dan dua gol dijaringkan pasukan lawan memang berpunca daripada kesilapan kita,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.
Beliau bagaimanapun tetap optimis Kelantan TRW mampu menterbalikkan keputusan apabila bertandang ke Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 29 Oktober nanti dengan mengekalkan serta menambah baik corak permainan ditampilkan pada perlawanan malam tadi.
Katanya, Kelantan TRW sebenarnya bermain lebih baik berbanding Sabah dan mampu menguasai perlawanan pada kedua-dua babak, tetapi gagal menyudahkan peluang dihasilkan kerana kurang fokus pada hantaran akhir. – UTUSAN