PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) mungkin boleh melupakan hasrat untuk mara lebih jauh di Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selepas mengalami kekalahan ketiga berturut-turut di saingan Asia itu.
Kekalahan ketiga itu hadir di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Indonesia apabila skuad kendalian Christophe Gamel tewas 2-0 di tangan Persib Bandung, sebentar tadi.
Pada aksi itu, tuan rumah yang mendapat sokongan ribuan penyokong setia mereka memulakan permainan dengan garang apabila mula menguji gawang Selangor menerusi percubaan Uilliam Barros pada minit ketujuh namun dinafikan penjaga gol pelawat, Sikh Izhan Nazrel.
Sikh Izhan sekali lagi diuji percubaan Barros lima minit kemudian namun dia masih mampu memastikan gawang tidak dibolosi.
Usaha skuad kendalian Bojan Hodak akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-29 menerusi serangan balas pantas bagi membuka tirai jaringan, apabila peluang itu disudahkan oleh pemain tengahnya, Adam Alis.
Keputusan 1-0 itu kekal sehingga babak pertama berakhir yang menyaksikan Persib menguasai hampir keseluruhan permainan.
Bersambung babak kedua, Selangor meningkat intensiti permainan dan memperolehi beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.
Peluang itu bermula dengan percubaan Alvin Fortes pada minit ke-50 yang menggegar palang tuan rumah.
Penjaga gol Persib, Teja Paku Alam turut beraksi cemerlang apabila menafikan dua percubaan berbahaya daripada Fortes pada minit ke-55 dan Chrigor Moraes tiga minit kemudian.
Persib yang diasak hebat oleh Gergasi Merah bagaimanapun berjaya memperolehi gol kedua hasil sepakan penalti disudahkan oleh Andrew Jung pada minit ke-66.
Sepakan penalti itu diperolehi selepas pertahanan Selangor, Harith Haiqal melanggar Federico Barba dalam kotak penalti pada minit ke-65 walaupun tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana situasi itu tidak mendatangkan ancaman kepada gawang Gergasi Merah.
Tuan rumah berpeluang menggandakan sekurang-kurangnya dua gol lagi namun ketangkasan Sikh Izhan menafikan jaringan itu daripada terhasil.
Keputusan itu menyaksikan Selangor masih belum mampu meraih sebarang mata susulan tewas buat kali ketiga, selepas membuka kempen ACL2 dengan kekalahan 4-2 ditangan Bangkok United, sebelum tunduk kali kedua menerusi keputusan sama kepada Lion City Sailors.
Persib kini menghuni tangga teratas Kumpulan G dengan tujuh mata manakala Bangkok United di kedudukan kedua selepas menewaskan Lion City Sailors 1-0 untuk mengumpul enam mata.
Lion City Sailors di tangga ketiga dengan empat mata manakala Selangor kedudukan terbawah tanpa sebarang mata.-UTUSAN










