74 atlet negara antara 4,316 pelajar baharu sesi akademik 2025/2026 mendaftar di UPM

74 atlet negara antara 4,316 pelajar baharu sesi akademik 2025/2026 mendaftar di UPM

AHMAD Farhan Mohd Sadullah beramah mesra dengan ibu bapa dan pelajar baharu yang mendaftar di Universiti Putra Malaysia bagi sesi akademik 2025/2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 4,316 pelajar baharu mendaftar di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2025/2026. Jumlah itu peningkatan sebanyak 112 orang berbanding 4,214 pelajar pada sesi yang lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 1,518 adalah pelajar lelaki, manakala 2,798 lagi pelajar perempuan. Pada sesi akademik 2024/2025, UPM merekodkan kemasukan 1,770 pelajar lelaki dan 2,444 pelajar perempuan.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, UPM turut merekodkan peningkatan pelajar baharu yang memilih bidang Agrobio dan pertanian, seramai 1,319 orang berbanding 1,300 pelajar tahun sebelumnya.

Bidang Agrobio yang berkaitan dengan pertanian merangkumi Bacelor Sains Pertanian dengan Kepujian, Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian, Bacelor Sains dan Teknologi Makanan dengan Kepujian serta Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian.

“Seiring keperluan pasaran, UPM turut memperkenalkan program baharu seperti Bacelor Kewangan Gunaan dengan Kepujian di bawah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE).

“UPM juga memperkasa kedudukan sebagai universiti mesra atlet sukan apabila menjadi pilihan 74 atlet negara yang pernah mewakili Malaysia di kejohanan antarabangsa termasuk ragbi, memanah, gimnastik dan hoki,” katanya dalam kenyataan.

Antara mereka ialah atlet gimrama kebangsaan, Lai Yun Jo, yang pernah mewakili negara ke Kejohanan Remaja Dunia yang melanjutkan pengajian dalam program Bacelor Sains Komputer dengan Kepujian; atlet memanah kebangsaan ke Asian QCT, Paris 2024, Nurul Ain Fitri Ramli, yang mengikuti program Bacelor Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, serta atlet hoki kebangsaan ke Junior Asia Cup, Naaveennash Panicker, yang berjaya mendapat tempat dalam program Bacelor Komunikasi dengan Kepujian.

Selain itu, pasukan pemain Projek Ragbi Kebangsaan turut ditawarkan peluang melanjutkan pengajian, dengan majoritinya menyertai program Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani).

“Sebagai menyahut seruan Kerajaan Madani, Universiti ini turut memberi peluang pendidikan inklusif kepada 1,687 pelajar daripada keluarga B40, sembilan pelajar Orang Asli dan 10 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU),” kata Ahmad Farhan.

Ahmad Farhan berkata, kemasukan pelajar baharu kali ini membuktikan bahawa UPM kekal menjadi pilihan utama generasi muda untuk membina masa depan yang cemerlang.

“Kami di UPM komited menyediakan pengalaman pembelajaran dan kehidupan kampus terbaik kepada setiap pelajar selaras dengan aspirasi True North universiti.

“Mereka bukan sahaja akan menerima pendidikan bertaraf dunia, tetapi juga bimbingan untuk menjadi graduan holistik yang mampu menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara serta pembangunan komuniti global,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN