SEPANG: Suasana di Gamuda Cove hujung minggu lalu dimeriahkan dengan sorakan lebih 2,000 peserta dari 30 negara yang mengambil bahagian dalam Spartan Race Malaysia 2025 Kuala Lumpur Trifecta Weekend.
Peserta yang hadir bukan sahaja dari rantau Asia, malah sejauh Iceland, Austria, Sweden dan Argentina, sekali gus membuktikan tarikan Spartan Malaysia kini melangkaui sempadan rantau.
Penganjuran kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila ia menjadi edisi pertama di bawah pengurusan bersama RUNRIO Thailand dan SCORE Sports Management, pemegang lesen rasmi Spartan Race bagi Thailand, Malaysia dan Singapura bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Kerjasama strategik ini membuka lembaran baharu buat jenama Spartan di Malaysia, menggabungkan kepakaran RUNRIO dalam penganjuran serantau dengan pengalaman SCORE dalam pengurusan acara bagi memastikan perlumbaan bertaraf dunia.
Namun begitu, kejohanan itu tetap mengekalkan semangat asal Spartan yang berteraskan ketabahan, semangat berpasukan dan daya juang tinggi.
Dalam kategori elit, Saddam Pittli dari Malaysia dan Kim Luu Linh dari Vietnam muncul pemenang apabila masing-masing mengunguli gelaran berganda dalam kategori BEAST (21km, 30 halangan) dan SUPER (10km, 25 halangan).
Kemenangan Saddam amat bermakna kerana menandakan kemunculan semulanya selepas hampir setahun tidak beraksi di kejohanan itu.
“Saya sudah hampir setahun tidak bertanding dalam Spartan Race. Apabila mendapat tahu kejohanan kembali ke Kuala Lumpur, saya tidak mahu lepaskan peluang ini. Matlamat saya jelas untuk mengharumkan nama Malaysia di tanah air sendiri,” katanya.
Saddam bagaimanapun mengakui sedikit kecewa kerana gagal mencapai sasaran masa 1 jam 40 minit dalam kategori BEAST selepas terlepas lontaran lembing, salah satu cabaran paling mencabar dalam acara Spartan.
“Saya menamatkan perlumbaan dalam masa 1 jam 46 minit. Bahagian paling sukar ialah Hercules Hoist, Spear Throw dan Sandbag Carry dengan beg pasir seberat 35 kilogram di laluan mendaki,” katanya.

Sementara itu, Kim turut membuktikan ketenangan dan konsistensinya apabila meraih dua kemenangan berturut-turut.
“Perlumbaan kali ini bukan yang terpantas, namun paling bermakna. Selepas lebih setahun berlatih, kemenangan ini menjadi simbol ganjaran terhadap ketabahan,” ujarnya yang turut memuji penganjuran dan sokongan sukarelawan Malaysia.
Dalam kategori kumpulan umur pula, Sergei Kliukin dan Ritzy Amor Ectin dari Filipina tidak dapat digugat apabila mendominasi kategori BEAST dan SUPER.
Turut menjadi tumpuan ialah kategori Sprint (5km, 20 halangan), Kids Race (1–3km) serta Hurricane Heat 4HR, yang menarik penyertaan peserta dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Turut mencuri perhatian ialah penyertaan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, seorang pengamal kecergasan tegar yang terus mencabar diri biarpun berusia 55 tahun.
Beliau yang sudah menyertai Spartan sejak 2017 sekali gus menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia tentang makna sebenar kekuatan dan disiplin diri.
Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata kejayaan penganjuran kali ini membuktikan sambutan luar biasa rakyat Malaysia terhadap Spartan Race.
“Kejayaan perlumbaan kanak-kanak dengan penyertaan sekitar 500 peserta jelas menunjukkan acara ini bersifat kekeluargaan. Secara keseluruhan, lebih 7,500 pengunjung hadir sepanjang hujung minggu bukti Spartan kini menjadi platform sukan dan pelancongan yang berimpak besar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RUNRIO Thailand, Boonperm Intanapasat, berkata kejayaan Spartan Malaysia 2025 merupakan permulaan kepada usaha tiga tahun untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama komuniti Spartan dunia.
“Kami mahu menjadikan Spartan Malaysia sebagai acara antarabangsa yang mencerminkan piawaian terbaik, mengukuhkan pelancongan sukan dan semangat komuniti,” jelasnya.-UTUSAN