Terbuka Denmark: Juara dunia melangkah ke separuh akhir

Terbuka Denmark: Juara dunia melangkah ke separuh akhir

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke separuh akhir Terbuka Denmark selepas menewaskan gandingan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai 21-17, 21-11 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan prestasi garang apabila melangkah ke separuh akhir Terbuka Denmark 2025 selepas menundukkan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, sebentar tadi.

Berlangsung di Jyske Bank Arena, pasangan No.4 dunia itu mempamerkan keunggulan mutlak dengan kemenangan straight set 21-17, 21-11 dalam masa hanya 38 minit.

Tang Jie-Ee Wei tampil cukup tenang dan kemas dalam permainan awal apabila bijak menghukum setiap kesilapan lawan bagi menguasai set pertama.

Shevon-Soon Huat cuba bangkit pada set kedua dengan beberapa pukulan agresif di jaring, namun rentak itu tidak kekal lama apabila juara dunia kembali mendominasi gelanggang.

Kemenangan meyakinkan itu sekali gus menyaksikan Tang Jie-Ee Wei melanjutkan rekod kemenangan mereka kepada empat berturut-turut ke atas pasangan profesional negara tersebut.

Secara keseluruhan, pasangan muda negara itu kini mendahului rekod pertemuan 5-3 menentang Shevon-Soon Huat sejak pertama kali bertemu di pentas antarabangsa.

Tang Jie-Ee Wei kini menanti cabaran sama ada gandingan No.1 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin atau pilihan tuan rumah, Mathias Christiansen-Alexandra Boje di separuh akhir.

Aksi konsisten mereka di Eropah ini turut memperkukuh reputasi sebagai antara beregu campuran paling stabil dalam kitaran kelayakan ke Olimpik Los Angeles 2028.

Sementara itu, gandingan lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong pula terhenti di suku akhir selepas tewas 19-21, 18-21 kepada beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Walaupun tersingkir, Azriyn-Wee Kiong tetap menerima pujian atas semangat juang luar biasa selepas mencipta kejutan menumbangkan pasangan No.1 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN