Penyertaan pelajar pada Iskandar Puteri International Edufest 2025 (EDUFEST 2025) melebihi jumlah yang disasarkan apabila 11,000 peserta daripada seluruh negara selain Korea, Singapura dan Indonesia mengambil bahagian.
Sekretariat EDUFEST 2025 menyasarkan 10,000 peserta pada festival lima hari itu yang menjadi platform penting membantu mereka mendapatkan pelbagai peluang kepada markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Berdasarkan rekod pendaftaran, 8,080 peserta mengambil bahagian secara dalam talian (on line) yang melibatkan kuiz Environment Challenge dan World Peace Challenge dengan penyertaan paling ramai dari Selangor diikuti Johor dan Kedah. Seramai 2,987 pelajar hadir ke lokasi bagi menyertai 15 aktiviti yang dianjurkan.
Seramai 50 pelajar dan belia antarabangsa daripada Indonesia, Singapura serta Korea Selatan turut hadir mengambil bahagian.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, EDUFEST 2025 bukan sekadar sebuah festival pendidikan tetapi simbol kemajuan pendidikan negara kita yang progresif dan inovatif seiring perkembangan era digital sekarang.
“Festival ini juga saya lihat turut menghimpun komuniti pendidik, inovator pendidikan, organisasi sokongan pendidikan, sektor awam serta entiti korporat. Mereka ke sini untuk berkongsi pengalaman, membina jaringan profesional serta mewujudkan perkongsian yang saling menguntungkan dalam mencapai aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian EDUFEST 2025 di Bandar Iskandar Puteri Johor Bahru baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Rusmini Ku Ahmad.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin; Pengarah Institut Dato’ Onn, Mohd. Gadaffie Abd Aziz; Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran
Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Zulkurnain Abdul Rahman; serta Ketua Bahagian Pendidikan, Iskandar Investment Berhad, Azizah Merican.
Fadhlina turut merakamkan ucapan syabas kepada Kerajaan Negeri Johor yang memberi sokongan penuh kepada penganjuran EDUFEST 2025 yang menjadi titik permulaan kepada inisiatif pembangunan kokurikulum yang berimpak tinggi, inovatif, kreatif dan berkualiti dengan menerapkan nilai positif terhadap kesejahteraan insan serta kelestarian alam sekitar.
Sementara itu Aznan berkata, EDUFEST 2025 telah menempa sejarah festival pendidikan antarabangsa pertama yang penuh inovasi dan kreativiti di negara ini sekali gus menjadi ‘trend setter’ dan kayu pengukur baharu program seumpamanya selepas ini.
“Marilah kita menjadikan EDUFEST 2025 ini sebagai titik permulaan kepada perubahan yang lebih besar dalam aktiviti kokurikulum sekolah di negara ini,” katanya.
EDUFEST 2025 dianjurkan dengan tema ‘Pendidikan Melangkaui Sempadan, Memupuk Kewarganegaraan Global Dalam Era Digital’ ke arah membina kemahiran relevan dalam dunia yang semakin saling terhubung.
Semua aktiviti sama ada fizikal mahu pun maya adalah berteraskan inovasi serta kreativiti, selaras dengan aspirasi negara untuk membentuk pelajar sebagai generasi masa hadapan yang berkualiti, berketerampilan serta berdaya saing.
Program tersebut dengan sokongan penuh oleh Kerajaan Negeri Johor dianjurkan menerusi platform kerjasama antara Johor Talent Development Council, Institut Dato’ Onn, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama 52 rakan strategik.
Sunway Big Box Retail Park dan Sunway Hotel pula tampil sebagai penaja rasmi lokasi. Festival berkenaan turut menggalakkan penglibatan ibu bapa, selain membuka peluang kepada pendidik, inovator pendidikan, organisasi sokongan pendidikan, sektor awam serta entiti korporat untuk berkongsi pengalaman, membina jaringan profesional dan mewujudkan perkongsian yang saling menguntungkan dalam mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).
Selain mendapat pendedahan dan pengalaman, peserta berpeluang membina jaringan kerja, rangkaian kenalan serta kerjasama yang luas bagi memperkayakan dunia pendidikan, kreativiti mahu pun inovasi serta menyatukan peserta tempatan di samping negara ASEAN. Selain menyertai aktiviti festival, peserta dan pengunjung berpeluang untuk meneroka pelbagai produk pelancongan di Iskandar Puteri yang kini merupakan Destinasi Kelas Dunia Global di Malaysia.
EDUFEST 2025 juga dianjurkan bagi memicu kesedaran penganjuran EDUFEST 2026 secara besar-besaran serta mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Johor 2026. Iskandar Puteri menawarkan pelbagai tarikan moden dan berinovasi termasuk taman tema, pelancongan sukan, kemudahan hospitaliti mewah serta destinasi ekopelancongan. – UTUSAN