PETALING JAYA: Penyanyi Zizi Kirana adalah antara aktivis yang menyertai pelayaran Misi Global Sumud Flotilla menuju Gaza yang membawa bantuan kemanusiaan bersama aktivis pro-Palestin.
Turut serta dalam pelayaran ini termasuk aktivis alam sekitar terkenal Greta Thunberg dan mereka telah berlepas semula dari pelabuhan Barcelona kelmarin selepas cuaca buruk memaksa mereka berpatah balik beberapa jam sebelum itu.
Menurut wartawan AFP di lokasi, sekitar 20 buah kapal berangkat dari bandar Sepanyol itu pada Ahad dengan misi untuk membuka koridor kemanusiaan dan menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di tengah-tengah perang Israel-Hamas, menurut kumpulan penganjur Global Sumud Flotilla.
Zizi dalam catatan yang dimuat naik di Facebook Sumud Nusantara Official menulis: “Teruskan melangkah dengan penuh tawakkal, kerana setiap suara adalah amanah dari Allah. Jadilah cahaya yang menyinari jalan, dan berjuanglah demi kebaikan dengan niat ikhlas.”
Rombongan itu dijangka tiba di Gaza pertengahan September ini, selepas dua cubaan terdahulu membawa bantuan ke wilayah berkenaan pada Jun dan Julai lalu dihalang oleh Israel.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengisytiharkan krisis kebuluran di Gaza, dengan amaran lebih 500,000 penduduk kini berada dalam keadaan amat kritikal.
Perang tercetus pada 7 Oktober 2023 apabila serangan lintas sempadan oleh kumpulan pejuang Hamas mengorbankan 1,219 orang, kebanyakannya orang awam, manakala 251 individu dijadikan tebusan dan daripada jumlah itu, 47 masih ditahan termasuk 25 yang disahkan mati oleh tentera Israel.
Serangan balas Israel pula telah meragut sekurang-kurangnya 63,459 nyawa penduduk Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut angka daripada Kementerian Kesihatan Gaza. – UTUSAN