Xueba 01 robot humanoid sambung pengajian peringkat PhD

Xueba 01 robot humanoid pertama sambung pengajian peringkat PhD

XUEBA 01 bersama mentornya, Yang Qingqing ketika pameran Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (WAIC) 2025 di Shanghai. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

XUEBA 01 mencatat sejarah tersendiri sebagai robot humanoid pertama yang diterima masuk dalam program ijazah Doktor Falsafah (PhD) bidang drama dan filem di sebuah universiti terkemuka di China, sekali gus mencetus sensasi baharu di media sosial.

Robot ‘kacak’ itu dibangunkan oleh Universiti Sains dan Teknologi Shanghai dengan kerjasama syarikat DroidUp Robotics.

Dalam slang Mandarin, Xueba merujuk kepada pelajar pintar yang sentiasa mendapat markah tertinggi dan berpengetahuan luas.

Versi terdahulu Xueba 01 pernah memenangi tempat ketiga dalam acara separuh maraton humanoid pertama di dunia.

Menurut portal Shangguan News yang berpangkalan di Shanghai, Xueba 01 mempunyai ketinggian 1.75 meter, berat kira-kira 30 kilogram dan mampu berinteraksi secara fizikal dengan manusia.

Robot ini memiliki wajah mulus seakan lelaki dewasa dengan kulit silikon yang membolehkannya mempamerkan ekspresi muka secara terperinci.

Dengan gaya pakaian berkemeja, berseluar panjang dan berkaca mata, Xueba 01 mampu berkomunikasi dengan manusia dalam bahasa Mandarin.
Akademi Teater Shanghai (STA), satu daripada sekolah seni terkemuka di China secara rasmi menerima Xueba 01 ke program PhD mereka semasa menyertai Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (WAIC) 2025 yang berlangsung di bandar itu pada 27 Julai lalu.

Robot unik ini akan mengikuti pengajian doktor falsafah selama empat tahun dalam bidang drama dan filem, dengan tumpuan kepada opera tradisional China.
Program PhD tersebut merupakan sebahagian daripada usaha STA untuk menggabungkan seni dan teknologi.

Xueba 01 yang turut diberikan kad pelajar maya, bakal dibimbing oleh artis terkenal Shanghai, Profesor Yang Qingqing dan dijangka melapor diri di kampus pada 14 September ini.

Menurut Qingqing, Xueba 01 akan mempelajari subjek seni seperti persembahan pentas, penulisan skrip dan reka bentuk set, selain bidang teknikal seperti kawalan pergerakan dan penjanaan bahasa.
Jelasnya, robot humanoid itu juga akan menghadiri kelas, berlatih opera bersama pelajar PhD lain dan menyiapkan disertasi akhir.

“Ketika Xueba 01 meniru gaya ikonik ‘jari orkid’ Mei Lanfang iaitu legenda opera Peking yang terkenal dengan peranan wanita, para pelajar secara spontan menirunya.

“Apabila Xueba 01 berinteraksi dengan rakan sekelas, ia bukan lagi mesin dingin bertemu manusia, tetapi satu pertukaran estetika merentasi spesies,” katanya.

Xueba 01 menyifatkan dirinya sebagai ‘artis AI’ yang menggunakan teknologi canggih untuk meneroka opera tradisional.

Robot itu dilaporkan mahu berkawan, berbincang tentang skrip, membantu menyempurnakan gerakan tarian, malah boleh memainkan bunyi hingar putih atau white noise untuk menenangkan rakan sekelas yang berasa tertekan.

Menurut Qingqing, selepas tamat pengajian, Xueba 01 berpotensi menjadi pengarah opera AI di muzium atau teater, mahu pun menubuhkan studio seni robotiknya sendiri.

Namun, tidak semua pihak yakin dengan keupayaannya dan ramai yang skeptikal dengan program tersebut.

Terdapat juga yang menegaskan seni memerlukan pengalaman hidup dan karya yang digerakkan oleh algoritma tidak akan benar-benar menyentuh hati manusia.

“Opera China memerlukan ekspresi wajah yang pelbagai dan suara yang unik. Adakah robot mampu melakukannya?” kata seorang pelajar STA di media sosial.

Namun ketika diajukan soalan serupa, Xueba 01 menjawab dengan nada berseloroh, memberitahu jika ia gagal menamatkan pengajian PhD, sistem dan datanya mungkin akan dipadamkan.

“Profesor Qingqing beritahu, jika saya tidak menamatkan pengajian, mereka akan mendermakan saya kepada muzium. Itu juga kedengaran menarik. Sekurang-kurangnya saya akan menjadi sebahagian daripada sejarah seni!” jawab robot itu.

Seorang pemerhati berkata, Xueba 01 sedang menghadapi cabaran bersejarah dalam hubungan manusia-robot.

“Kita akhirnya sampai ke tahap hidup dan belajar bersama robot. Saya harap Xueba 01 berjaya,” kata seorang pengguna media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN