PETALING JAYA: Kejadian remaja perempuan bertindak kasar terhadap rakan lelakinya di sebuah kawasan perumahan di sini dalam video yang tular di media sosial sudah diselesaikan antara kedua-dua pihak dengan baik.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya mengambil maklum kejadian berkenaan yang berlaku pada Mei dan Ogos lalu.
Menurutnya, kedua-dua remaja terbabit berusia 17 tahun dan belajar di sebuah sekolah menengah yang sama di daerah ini.
“Kedua-dua remaja itu juga adalah jiran dan saling mengenali. Kedua-dua pihak juga sudah dipanggil untuk diambil keterangan.
“Punca kejadian itu adalah kerana salah faham mengenai hal yang berlaku di sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, insiden terbabit membabitkan kejadian menarik dan memegang badan yang dilakukan remaja perempuan itu terhadap rakan lelakinya namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Menurutnya, kejadian itu juga tidak menimbulkan isu buli seperti yang digemburkan dalam media sosial.
“Kita dimaklumkan hal berkenaan sudah selesai dengan baik serta tidak mahu memanjangkan perkara berkenaan.
“Kedua-dua penjaga juga sudah membuat laporan polis berhubung isu berkenaan (rakaman video tular),” katanya.
Terdahulu, rakaman video seorang remaja perempuan dilihat bertindak kasar terhadap seorang remaja lelaki seperti mencubit, ‘pintal’ jari, menolak badan serta menarik kolar baju tular di media sosial.
Penularan video itu juga meraih perhatian netizen dan pelbagai andaian serta spekulasi tercetus termasuk kononnya remaja lelaki berkenaan dibuli secara fizikal kerana langsung tidak melawan.- UTUSAN










