MASAK lemak cili api antara hidangan digemari di Malaysia dan cukup dikenali terutama di Negeri Sembilan.
Sekiranya berada atau berkunjung ke Terengganu, penggemar hidangan ini boleh menikmatinya sambil ‘ditemani’ udara segar dan suasana persekitaran kampung yang ditawarkan Kenanga Salai 2 Ventures.

Terletak di Kampung Bukit Damar, Marang, Terengganu, restoran ini menawarkan pelbagai masakan masak lemak cili api dengan daging, ayam, itik dan perut yang disalai selain aneka lauk-pauk kampung membangkitkan selera.
Walaupun baru beroperasi pada 29 Julai lalu, premis yang menggunakan slogan Kenikmatan salai, warisan Tganu kita’ diusahakan pasangan suami isteri, Che Ku Zulhilmi Che Ku Shamsudeen,31, dan Nor Azwani Zakaria, 30, ini menjadi tumpuan terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Che Ku Zulhilmi berkata, Kenanga Salai 2 Ventures adalah cawangan bagi Kenanga Salai yang beroperasi di Kampung Pantai Ali, Hulu Terengganu yang diusahakan ahli keluarganya.
Katanya, Kenanga Salai mula bertapak di Kampung Laut, Kuala Terengganu sekitar 2020 yang diusahakan oleh abang iparnya, iaitu bekas chef di sebuah hotel di Negeri Sembilan yang pulang ke kampung setelah pandemik Covid-19.
“Berbekalkan pengalaman dan ingin tampilkan kelainan hidangan yang mungkin sukar ditemukan di Terengganu pada masa itu, menu masak lemak cili api daging salai menjadi pilihan.
“Kenanga Salai kemudian beroperasi di Kampung Belukar Jambu, Kuala Terengganu; Kampung Tapu, Hulu Terengganu serta di Kampung Pantai Ali bermula sekitar awal 2023 dan kekal sehingga sekarang.
“Sebelum pembukaan cawangan iaitu Kenanga Salai 2 Ventures ini, saya timba pengalaman di premis Kenanga Salai terlebih dahulu. Kita juga bawa tukang masak dari sana untuk sediakan hidangan di sini,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Kenanga Salai 2 Ventures dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 11 pagi hingga 4 petang dengan menawarkan lebih 15 variasi lauk-pauk termasuk masak lemak cili api serta kampung.
Menurut Che Ku Zulhilmi, menu yang menjadi tarikan utama tentunya masak lemak cili api yang masih menggunakan resipi sama dengan Kenanga Salai bagi mengekalkan rasa serta keenakan untuk santapan pelanggan.

“Semangkuk atau sesenduk daging salai serta siput sedut, dua ketul itik salai dan seketul ayam kampung salai masing- masing dijual RM12. Selepas ini disediakan juga ikan keli salai.
“Buat masa ini kami masih menggunakan tong atau tempat salaian di Kenanga Salai. Bahan yang siap disalai dibawa serta dimasak di premis Kenanga Salai 2 Ventures ini,” katanya.
Kenanga Salai 2 Ventures kini dalam proses menyediakan tempat salai di premis berkenaan bagi memberi satu daya tarikan kepada pelanggan kerana dapat melihat secara terus proses salai dilakukan.
“Memandangkan Kenanga Salai 2 Ventures ini baru beroperasi, kami masih dalam proses penambahbaikan bagi memberikan lebih keselesaan serta kepuasan kepada pelanggan,” ujarnya yang mempunyai tiga pekerja.










