UTM beri pengalaman kehidupan kampus kepada 200 pelajar

UTM beri pengalaman kehidupan kampus kepada 200 pelajar

PELAJAR yang menyertai Program Inspirasi Varsiti 2025 didedahkan dengan pengalaman dan kehidupan sebagai golongan mahasiswa di kampus UTM, Skudai. Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus membuktikan komitmennya sebagai institusi pendidikan tinggi yang dekat dengan komuniti apabila menganjurkan Program Inspirasi Varsiti 2025 di Kolej Tun Fatimah, di sini baru-baru ini.

Program selama tiga hari itu menghimpunkan seramai 200 pelajar daripada 24 buah sekolah menengah di sekitar Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai.

Program tersebut merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi UTM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk merasai pengalaman kehidupan kampus, mengenali potensi diri, serta membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam universiti.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim dalam ucapan perasmiannya menekankan bahawa program tersebut selaras dengan amanat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam ‘Landasan Hala Tuju KPT 2025’ yang menggariskan penyediaan bakat terbaik negara.

Menurutnya, usaha memperkasakan generasi muda harus bermula sejak peringkat sekolah agar mereka bersedia bukan sahaja dari segi akademik, malah juga sahsiah, kepimpinan dan jati diri.

Beliau berkata, bahawa UTM bukan sekadar melahirkan graduan di peringkat universiti, malah berperanan sebagai pemangkin pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.

“Menerusi Program Inspirasi Varsiti inj, kita mahu pelajar sekolah mendapat inspirasi, keyakinan dan suntikan semangat patriotisme yang akan mendorong mereka untuk terus menuntut ilmu,” katanya.

Sepanjang program, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti berorientasikan kepimpinan, jati diri, patriotisme, kemahiran komunikasi, pembangunan diri, serta aktiviti berpasukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN