KELIBAT Datuk Ariffin Deraman di kenduri kahwin di kampung sekitar kawasan Alur Limbat sudah menjadi pemandangan biasa. Tanpa protokol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat itu menyapa tetamu, duduk semeja dengan orang kampung sambil menyuap nasi minyak, seolah-olah beliau sebahagian daripada keluarga pengantin.
Itulah gaya kepemimpinan yang dipraktikkan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ripin dengan meraikan rakyat dalam apa jua keadaan.

Baginya, seorang pemimpin mesti dekat dengan masyarakat bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya atau di pentas rasmi sahaja.
TIDAK PILIH KASIH DALAM KHIDMAT
Menurut Ariffin, tanggungjawab yang digalas tidak pernah melihat sempadan politik, darjat mahupun latar belakang rakyat.
Setiap permintaan dan keperluan yang dikemukakan kepadanya adalah amanah yang wajib ditunaikan sebaik mungkin tanpa pilih kasih.
“Bagi saya, semua rakyat di Alur Limbat adalah keluarga saya. Kalau ada yang memerlukan bantuan, kita akan cuba tunaikan. Tidak ada istilah hanya pilih mereka yang menyokong kerana saya dipertanggungjawab menjaga semua,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Pendekatan tersebut, ujarnya, penting bagi memastikan masyarakat berasakan keadilan yang sama rata dalam menerima manfaat pembangunan dan kebajikan.
SENTIASA BERSEDIA 24 JAM SEHARI
Selain bersikap adil, Ariffin juga dikenali sebagai seorang wakil rakyat yang sentiasa bersedia 24 jam sehari untuk dihubungi rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu tidak menolak kesibukan dengan jawatan Exco sering menuntut banyak masa dan komitmen. Namun, beliau tetap mengutamakan ruang untuk rakyat di kawasan yang diwakilinya.

DATUK ARIFFIN DERAMAN
Tarikh Lahir:
10 Jun 1968
Pekerjaan: Adun Alur Limbat
Pendidikan Menengah:
SMK Sultan Sulaiman (1981-1984)
MRSM Kuantan
(1984 – 1985)
Pendidikan Tinggi:
Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer / Universiti Sains Malaysia (1988-1992)
Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah / Universiti Al-Azhar Mesir (2005-2006)
Ijazah Sarjana Pengajian Islam / Open University Malaysia (2020-2022)
“Kalau ada orang hubungi saya pukul 2 atau 3 pagi sekalipun, saya akan cuba jawab. Kadangkala mereka telefon kerana ada ahli keluarga sakit, kemalangan atau perlukan rujukan segera. Saya mahu mereka tahu saya sentiasa ada untuk membantu,” katanya.
Bagi beliau, seorang pemimpin tidak boleh meletakkan had masa dalam memberikan khidmat kerana masalah rakyat datang tanpa mengenal waktu.
TURUN PADANG TANPA PROTOKOL
Dalam menjalankan tugas, Ariffin lebih gemar memilih pendekatan santai dan tanpa protokol ketika bertemu masyarakat.
Katanya, rakyat lebih selesa meluahkan masalah dalam suasana santai berbanding hadir ke pejabat yang dianggap terlalu formal.
“Kalau duduk di pejabat sahaja, mungkin ada yang segan hendak datang. Tetapi bila kita turun ke kedai kopi, surau atau pasar, mereka lebih terbuka untuk berkongsi,” katanya.
Beliau percaya, kaedah sebegini menjadikan hubungannya dengan masyarakat lebih akrab selain memudahkan memahami keadaan sebenar yang dihadapi rakyat di akar umbi.
RAIKAN RAKYAT DALAM SUKA DAN DUKA
Satu lagi sikap yang menjadi pegangan Ariffin adalah meraikan rakyat dalam apa jua keadaan sama ada ketika gembira atau berduka.
Menurut beliau, menghadiri majlis perkahwinan, kenduri kesyukuran mahupun menziarahi keluarga kematian adalah satu tanggungjawab sosial yang tidak boleh dipandang ringan.
“Kalau ada majlis kahwin, saya cuba hadir walaupun sekejap. Begitu juga jika ada kematian, saya pastikan hadir bagi memberi penghormatan terakhir. Itu cara kita berkongsi rasa dengan masyarakat,” katanya.
PRINSIP TIDAK BERJANJI KOSONG
Mengulas tentang pendekatan politiknya, Ariffin tidak gemar membuat janji manis yang belum tentu dapat ditunaikan.
“Rakyat sekarang sudah bijak menilai. Mereka tidak mahu dengar slogan atau janji besar, apa yang mereka mahu lihat ialah hasil kerja yang jelas di depan mata,” katanya.
Justeru, beliau berpegang kepada prinsip bekerja dalam senyap, biarlah tindakan dan hasil yang menjadi bukti.
“Kalau berjanji di pentas ceramah, tetapi diam bila rakyat susah, itu bukan kepemimpinan. Saya lebih suka biar kerja yang bercakap bagi pihak saya,” jelasnya.
SERAH PADA RAKYAT UNTUK MENILAI
Selepas memasuki penggal ketiga sebagai ADUN Alur Limbat, Ariffin menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat untuk menilai prestasi dan khidmat yang telah disumbangkannya.
Katanya, sokongan masyarakat hanya boleh diperoleh dengan keikhlasan dan kesungguhan bekerja, bukan dengan kata-kata semata-mata.
“Kalau kita ikhlas, rakyat nampak sendiri. Kalau kita hanya berjanji kosong, mereka juga akan tahu.
‘‘Jadi, biarlah mereka yang menilai, saya hanya teruskan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.
Ariffin menegaskan, falsafah kepeimpinannya mudah iaitu seorang pemimpin mesti dekat dengan rakyat, hadir dalam kehidupan mereka dan bersedia membantu tanpa mengira masa atau keadaan. – UTUSAN










