PETALING JAYA: Pusingan kelayakan Piala Asia Futsal 2026 yang akan berlangsung selama lima hari di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, bermula hari ini, menjadi pentas terbaik untuk menunjukkan kepada dunia bahawa penyokong futsal terbaik ada di Malaysia.
Itu tegas Presiden Pahang Rangers, Tengku Fahad Mua’adzam Shah Ibni Sultan Ahmad Shah, yang memainkan peranan penting dalam membawa kempen kelayakan tersebut ke bumi Pahang.
Tengku Fahad percaya suara penyokong, adalah instrumental buat skuad kebangsaan Malaysia yang akan membuka tirai saingan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebelum berdepan Bangladesh (22 September) dan menutup aksi kumpulan G menentang gergasi Asia, Iran (24 September).
“Apabila kita dapat menganjurkan pertandingan bertaraf antarabangsa, ia hadir bersama penghargaan dan pengiktirafan.
“Ia tidak sekadar mengukuhkan status SUKPA sebagai venue futsal terulung, dan mengetengahkan Kuantan sebagai hub sukan, tetapi lebih dari itu menunjukkan kepada dunia suara Malaysia.
“Jadi, mesej saya kepada penyokong Pahang, datang dan tunjukkan semangat dan keghairahan, tunjukkan betapa kuatnya suara anda. Sepertimana anda telah menjadikan scene futsal satu fenomena.
“Sokongan anda semua akan membakar dan menyemarakkan semangat pemain, jadi datang dan berjuang bersama mereka. Ini adalah rumah kita, dan insha Allah, kempen (kelayakan) ini akan menjadi milik kita,” katanya.
Tambah Tengku Fahad, menjadi tuan rumah kepada pasukan kuasa besar futsal, bukan sahaja dapat menarik minat penyokong setia di Pahang, malah memberi pengalaman menarik untuk mereka yang kali pertama yang ingin menjadi penonton sukan itu.
“Ia turut memberi keterujaan kepada penyokong baharu yang ingin menyaksikan futsal pertama kali, atau yang hadir untuk melihat pasukan-pasukan kebangsaan beraksi.
“Mereka bukan sahaja akan menyaksikan futsal tahap tertinggi tetapi turut mengalami pertukaran budaya, simbolik ikatan antara Pahang, Malaysia, serta negara-negara yang mengambil bahagian,” jelasnya.
Berkenaan peluang Harimau Malaya mara ke Piala Asia pada Januari depan, Tengku Fahad yang berada dalam Jawatankuasa Futsal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yakin dengan kemampuan skuad Rakphol Sainetngam.
“Malaysia Boleh! Saya percaya kita akan memberi satu tentangan yang hebat dan berintensiti tinggi. Kita tahu pasukan yang hadir adalah kuat dan bereputasi tinggi, kita menghormati mereka, tetapi Malaysia diketahui pasukan yang bukan mudah menyerah.
“Pemain-pemain kita akan bermain dengan sepenuh hati, dan bermain di sini di SUKPA memberikan kita satu keyakinan tambahan. Harapan saya kita akan berada di kelompok 16 terbaik Asia,” ujarnya.-UTUSAN