PETALING JAYA: Pasukan wushu negara menutup tirai Kejohanan Wushu Dunia yang berlangsung di Brasilia, Brazil dengan cemerlang apabila berjaya membawa pulang emas kelima.
Pingat emas itu disumbangkan oleh gandingan Lee Jia Rong, Pang Pui Yee dan Tan Cheong Min menerusi acara duilian wanita apabila mereka melakukan catatan 9.630 mata pada aksi final, awal pagi tadi.
Perak menjadi milik Itali dengan pungutan 9.623 mata manakala gangsa diraih oleh Hong Kong yang meraih 9.613 mata.
Kejayaan itu menjadi detik manis untuk Jia Rong dan Cheong Min apabila masing-masing turut menyumbang emas menerusi acara inividu sebelum ini.
Jia Rong meraih emas keempat negara, semalam, menerusi acara daoshu apabila mengutip 9.726 mata.
Cheong Min yang juga ratu wushu negara pula memenangi emas dalam acara nangun wanita, kelmarin.
Dua lagi emas disumbangkan oleh Si Shin Peng dalam acara qiangshu dan jianshu lelaki.
Kem wushu negara menamatkan saingan kali ini dengan membawa pulang lima emas, satu perak dan dua gangsa sekali gus menjadi pencapaian terbaik di Kejohanan Dunia.-UTUSAN