LOS ANGELES: FIFA akan memulakan proses jualan tiket Piala Dunia 2026 bulan ini dengan harga serendah AS $60 (RM253) untuk perlawanan peringkat kumpulan.
Harga tiket akan berubah mengikut permintaan dengan tiket final dijual setinggi AS $6,710 (RM28,379).
Sebanyak 48 pasukan akan beraksi di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai tahun depan.
Pemegang kad Visa boleh mendaftar akaun FIFA ID untuk menyertai cabutan prajualan yang berlangsung dari 10 hingga 19 September ini.
Peminat yang terpilih dalam cabutan akan boleh memohon membeli tiket bermula 1 Oktober dengan had maksimum empat tiket setiap perlawanan.
Secara keseluruhan, seseorang individu tidak boleh membeli lebih daripada 40 tiket sepanjang kejohanan.
FIFA turut menawarkan tiket penyokong bagi membolehkan peminat duduk bersama penyokong pasukan sama, selain tiket bersyarat untuk aksi kalah mati.
Platform rasmi penjualan semula tiket juga akan dilancarkan bagi memberi peluang kedua kepada peminat. – AGENSI