Teater Jikey Langkawi Kembara Putera berlangsung meriah

Teater Jikey Langkawi Kembara Putera berlangsung meriah

PARA pelakon ketika membuat persembahan pada Teater Jikey Langkawi Kembara Putera di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), kelmarin. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Teater tradisional Jikey Langkawi bertajuk Kembara Putera yang dipentaskan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini, berlangsung meriah selama dua hari menerusi program Panggung Seni Tradisional 2025 (PST2025).

Persembahan siri kelima itu sekali gus menutup tirai PST2025 dengan menampilkan hasil karya Persatuan Penggiat Seni Kreatif Kedah (Perspektif) yang menghiburkan penonton melalui dua segmen pementasan berdurasi 90 minit.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, Jikey Langkawi yang bertapak dari Pulau Langkawi, Kedah sejak lebih 400 tahun lalu merupakan teater rakyat yang menggabungkan seni muzik, lakonan serta tarian.

Menurutnya, setiap watak dipersembahkan dengan pantun, melodi khas, dialog komikal, paluan perkusi dan tarian tradisi yang unik.

“Segmen pertama mempersembahkan empat babak berunsur komedi dengan pelbagai watak masyarakat berbilang kaum di Malaysia, berlatarkan suasana perdagangan di Pelabuhan Langkawi suatu ketika dahulu.

“Segmen kedua pula membawa penonton menelusuri cerita rakyat mengenai dua kerajaan lama, Kalaha dan Inderapura yang sarat dengan kisah istana, pengembaraan, pertarungan kuasa, wira, antagonis dan perkahwinan diraja,” katanya kepada pemberita, kelmarin.

Jelas Mohd. Amran, penganjuran PST2025 bukan sekadar tontonan seni, malah platform memperkasakan kumpulan serta persatuan seni budaya dalam pelaksanaan produksi.

“Sebagai langkah memperkasakan industri seni dan budaya, JKKN menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada komuniti.

“Usaha memperkukuhkan tadbir urus seni dan budaya ini penting untuk memastikan seni budaya tempatan kekal relevan, seiring arus perdana serta menjadi aset warisan tidak ketara negara,” katanya.

Tambahnya, program yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN itu membuktikan bahawa seni tradisional masih mampu menarik perhatian khalayak, malah memberi pengalaman baharu kepada generasi muda untuk mendekati warisan bangsa.

Beliau turut menyarankan orang ramai mendapatkan maklumat lanjut mengenai program seni budaya anjuran JKKN melalui laman sesawang rasmi www.jkkn.gov.my atau Facebook JKKN di facebook.com. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN